Thursday, December 31, 2009

Perkara Ghaib

أَعُوْذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ كُلِّهَا مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ

Dalam Islam tiada apa yang kabur atau tidak jelas sekiranya diukur dengan ilmu dan kefahaman dalam perkara Syaria't atau Fiqh. Dengan merujuk kepada Quran, Hadis, Ijma' dan Qiyas tiada apa yang kabur, tidak jelas atau tidak pasti. Ianya tidak jelas kepada orang-orang awam seperti kita yang tidak mempunyai ilmu dan kefahaman yang memadai tentang Syari'at atau Fiqh. Kerana itu kita wajib berpegang dengan bimbingan ilmu dan kefahaman dari 'ulama soleh lagi wara'.

Dalam Islam digariskan terlalu banyak panduan asas tentang mengenali sumber dan pengaruh sesuatu ilmu itu, sama ada ianya berunsur kejinan atau tidak. Apa yang menjadi masalah ialah diri kita orang-orang awam yang jahil ini berani pula mempertikaikan ilmu dan kefahaman 'ulama' hingga mengakibatkan kesesatan dan kesombongan. Semoga Allah (SWT) melindungi kita dari semua itu dan memberikan kita jiwa kehambaan sebenar.

Bagi makhluk, qada dan qadar itu datangnya dengan Syari'at atau Fiqh. Wajib kita melihat, mengukur dan meneliti segala sesuatu itu bersandarkan dengan ilmu kehambaan yakni ilmu mendidik manusia menjadi hamba Allah (SWT) yang sebenar-benar hamba iaitu ilmu Syaria't atau Fiqh. Itulah ilmu yang menterjemahkan Iman dan itulah dia salah satu cabang utama ilmu tentang Iman, tanpanya maka rosaklah Iman.

Memang berlaku kepada orang-orang pilihan Allah (SWT) dizaman dahulu hinggalah sekarang perkara mencarik adat seperti kebal dalam keadaan tertentu tetapi wajiblah kita teliti segala yang terjadi dengan ilmu Syari'at. Mereka yang benar-benar menjadi pilihan Allah (SWT) ini adalah mereka yang beramal bagi mendapat Iman dan berdoa memohon Iman, bukan beramal dan berdoa untuk suatu kehebatan.

Amalan seseorang itu hakikatnya adalah tidak lain dan tidak bukan hanyalah bagi menjadi hamba Allah (SWT) yang sebenar-benar hamba. Biarlah amalan dan segala inci kehidupan kita itu mendapat rahmat dan kasih Allah (SWT) serta kasih Nabi Muhammad (SAW). Itulah yang menjadi matlamat hidup kita dijadikan. Hiduplah berlandaskan dalil Naqli dan Aqli terjemahan dari ilmu dan kefahaman 'ulama', bukan tafsiran dangkal dari kejahilan diri.

Perkara ini ditimbulkan dalam nukilan sidhaif pada kali ini kerana ianya berkaitan dengan kesembuhan dari pelbagai perkara yang banyak mengganggu masyarakat Melayu. Perkara berunsur kejinan dan terlalu banyak masalah yang timbul darinya. Bukan sahaja sakit sehingga ada yang hilang akal atau lebih teruk lagi malahan hilang amalan soleh dan Iman akibat darinya. Yakinlah bahawa tiada persoalan yang tidak terungkai dalam Islam.

Kesemua aspek hidup dan mati makhluk, malahan selepas mati, ada dibentangkan dalam Al-Quran dan Sunnah. Selepas dari itu ada pula Ijma' dan Qiyas para 'ulama'. Tundukkanlah nafsu dan akulilah kehambaan kepada Allah (SWT). Carilah orang-orang pilihan Allah (SWT) yang dapat mendidik, membimbing dan memimpin ke arah taat dan taqwa kepada Allah Ta'ala.

أَصْلَحَ اللهُ أُمُوْرَ الْمُسْلِمِيْنَ, صَرَفَ اللهُ شَرَّ الْمُوْذِيْنَ

No comments:

Post a Comment