Sunday, December 27, 2009

Menghindarkan Musibah Diri

Sesuatu yang berlaku ke atas diri kita merupakan natijah yang datangnya dari kesilapan, kesalahan dan dosa yang telah dilakukan. Memohonlah kita keampunan dan rahmat kasih sayang dariNya. Kerosakan yang berlaku di dunia ini adalah akibat dari perbuatan yang telah dilakukan oleh manusia sendiri. Diri diperbaiki maka akan baiklah segala perkara, semata-mata dengan rahmatNya.

Berlakulah pula kerosakan pada diri sendiri yang membawa kepada kehancuran Iman dan menghapuskan amalan. Kezaliman berleluasa akibat dari rosaknya Iman. Nafsu bergelojak dan merosakkan manusia akibat dari dosa yang telah dilakukan. Semua saluran kerosakan, gangguan dan penyakit terbuka dan diri menjadi lemah dan tidak lagi bermaya.

Diri menjadi tandus dengan amalan soleh dan terus ditenggelami amalan kehancuran yang merosakkan kebahagiaan. Pelbagai masalah timbul dan terasa hidup ini sempit dan penuh sengsara. Itulah yang sering terjadi pada masa kini terhadap kaum Muslimin dan Muslimat umumnya. Kerana itu terjadilah bermacam-macam gangguan penyakit fizikal, mental dan sebagainya.

Untuk mendapat kekuatan dan kemantapan jiwa serta menghindarkan diri daripada musibah yang menarik kepada kancah kekufuran, kesyirikan serta kejinan dan kezaliman, di nasihatkan kepada para Muslimin dan Muslimat agar mengamalkan membaca ayat Kursi, selawat dan istighfar sebanyak 40 ribu kali. Amalan ini juga memberikan kekuatan dalam melaksanakan ketaatan.

Untuk mencukupkan bilangan bacaan ayat Kursi 40 ribu, selawat 40 ribu dan istighfar 40 ribu tidaklah ditetapkan satu-satu masa akan tetapi terserah kepada kemampuan kaum Muslimin dan Muslimat sendiri. Sekiranya diamalkan 20 kali setiap kali selesai solah pada setiap hari maka genap 100 kali sehari. Ini cuma mengambil masa lebih sedikit dari setahun untuk mencukupkan bilangannya.

Selawat yang disyorkan:
أَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَ رَسُولِكَ النَِّبيِّ اْلأُمِّيِّ وَ عَلَى آلِهِ وَ صَحْبِهِ وَ سَلِّمْ
“Ya Allah Kau curahkanlah rahmat dan kesejahteraan ke atas penghulu (pemimpin) kami Nabi Muhammad seorang hambaMu dan rasulMu lagi nabiMu yang Ummi, ahli keluarganya dan para sahabatnya.”

Istighfar yang disyorkan:
لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّى كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ
”Tiada Tuhan yang sebenar-benarnya melainkan Engkau, Maha sucilah Engkau Ya Allah daripada segala sifat kekurangan, sesungguhnya aku tergolong daripada orang yang zalim.”

Walaupun selawat dan istighfar ini telah habis dibaca sebanyak 40 ribu kali tetapi hendaklah berusaha bersungguh-sungguh agar dapat diamalkannya setiap hari sekurang-kurangnya 100 kali dalam sehari semalam. Tiada lain yang akan diperolehi dari amalan soleh melainkan kejayaan, ketenangan dan kebahagiaan sebenar. Segala-galanya dengan rahmat dan izin Allah (SWT).

No comments:

Post a Comment