Sunday, December 27, 2009

Kebiasaan & Luar Biasa

Pada suatu hari selepas selesai kuliah agama sessi pagi maka bertemulah saya dengan seorang dari saudara yang menyertai kuliah yang saya adakan. Beliau sudah hampir 60 tahun umurnya. Wajahnya murung dan gelisah, terlalu jelas terpampang. Saya menyangkakan beliau adalah saudara baru kerana kuliah tersebut memang lebih ramai dihadiri saudara baru.

Beliau terpaksa mendapatkan pelbagai rawatan bagi masalah jiwa dan mengambil ubat-ubatan bagi membantu mengatasi masalah tersebut. Beliau mengatakan bahawa dirinya ada sakit mental. Maka saya terangkan bahawa Quran dan Sunnah itu penyembuh bagi penyakit mental dan fizikal, rohani dan jasmani serta zahir dan batin.

Beliau seronok dan amat berminat mendengarnya. Setelah dibuat sedikit penyelidikan terhadap kebiasaan hidup beliau maka dapatlah dirumuskan bahawa beliau gemar kepada perkara yang pelik-pelik atau dengan perkataan lain, perkara kejinan. Kebiasaan beliau inilah yang menjadi luar biasa. Memanglah menjadi suatu kebiasaan bagi iblis, syaitan dan kuncu-kuncunya dari kalangan jin dan juga manusia untuk mengganggu.

Terutamanya gangguan yang merosakkan kehambaan rohani dan jasmani. Gangguan ini merosakkan fizikal dan mental. Perubatan moden tidaklah salah sekiranya ianya tidak menyalahi hukum syari'at. Namun mereka yang pakar dalam perubatan moden sendiri sering mengakui bahawa terlalu banyak penyakit yang tidak boleh sembuh.

Malahan pengambilan kaedah perubatan moden secara berterusan juga mendatangkan pelbagai risiko zahir dan batin. Sebagai orang yang Islam kita diberikan rahmat kesembuhan dengan keimanan. Quran itu merupakan sumber kesembuhan yang hebat untuk orang-orang yang beriman. Apa yang luar biasanya ialah manusia gemar merintis perkara kejinan.

Perkara yang membawa kepada kerosakan iman dan amal. Bila sudah merosak fikiran dan melemahkan jiwa, maka tiada lain yang dapat selain dari kerugian. Luar biasa juga apabila kita tidak mahu mengamalkan perintah Allah Ta'ala atau sunnah Nabi (SAW). Bermacam-macam amalan yang ringkas dan mudah untuk dilaksanakan bagi tujuan menjadikan kehidupan kita lebih berkualiti, sihat zahir dan batin serta rohani dan jasmani.

Apabila bala atau penyakit menimpa barulah dicarinya orang agama. Minta doakan pada air, pada diri dan macam-macam. Ini tidaklah salah tetapi kita mestilah ada sifat malu pada Dia (SWT). Carilah Allah Ta'ala ketika susah dan senang, sakit dan sihat. Perintah Allah (SWT) atau sunnah Nabi Muhammad (SAW) itu merupakan satu kesembuhan dan pencegahan dari segala macam penyakit, sama ada mental mahu pun fizikal, individu mahu pun masyarakat.

Nikmatilah rahmat yang Dia (SWT) anugerahkan kepada kita semua. Perintah Allah (SWT) itu merupakan rahmat dan penyelamat yang terlalu besar. Ilmu, amalan dan kefahaman kehambaan itu merupakan rahmat dan penyelamat yang amat besar. Allah Ta'ala yang Maha Pencipta maka Dia (SWT) sahajalah yang memahami tentang segala yang telah diciptaNya.

الله الله رَبُّنَا الله. الله الله حَسْبُنَا الله. نَحْمَدُ اللهَ نَشْكُرُ اللهَ ذَٰلِكَ فَضْلٌ مِّنَ اللهِ

No comments:

Post a Comment