Wednesday, December 30, 2009

Kebatinan & Alam Ghaib

“Alif, Laam, Miim. Kitab Al-Quran itu, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa. Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Dan juga orang-orang yang beriman kepada kitab Al-Quran yang diturunkan kepadamu (Muhammad), dan kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya). Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya.” (Al-Baqarah: 1-5)

Jelas ayat ini menunjukkan bahawa kita wajib beriman dan percaya kepada perkara ghaib. Persoalannya ialah perkara yang bagaimana? Sekiranya dalam ayat yang jelas ini telah menyatakan tentang beriman kepada perkara yang ghaib maka sudah tentu terdapat penjelasan tentang perkara ghaib yang jelas di dalam Quran dan Hadis.

Dalam hal ini Ibnu Mas'ud mengatakan bahawa apa yang dimaksudkan dengan yang ghaib itu adalah segala apa yang ghaib dari kita dan perkara itu wajiblah diberitakan oleh Allah dan RasulNya melalui Al-Quran dan Hadis. Disini jelas menunjukkan bahawa kita wajib sentiasa merujuk kepada Quran dan Hadis dalam hal yang membicarakan tentang perkara ghaib.

Sudah tiba masanya kita tolak kepercayaan karut marut yang di pengaruhi oleh kepercayaan selain dari Islam. Alam Melayu terlalu banyak perngaruh hindu, semangat, buddha dan sebagainya yang mana ianya merosakkan Iman. Ada kepercayaan yang telah terlalu sebati dalam alam Melayu hingga menjadi kata putus bagi golongan sesat dan jahil dalam perkara ghaib ini.

Terlalu menyedihkan apabila melihat orang Islam sendiri percaya kepada dewa dewi, bunian, hantu, polong dan sebagainya dengan cara dan kepercayaan yang bertentangan dengan Islam. Allah (SWT) telah mengutuskan Nabi Muhammad (SAW) dengan panduan hidup yang paling lengkap dan sempurna. Orang Islam wajib meyakini sepenuhnya akan perkara ini.

Tidak perlu kita merosakkan Iman dan Islam sendiri dengan mencari fakta dan hujah lain dalam memahami perkara ghaib. Ilmu Islam mencakupi segala hal, sama ada hal yang ada di fikiran manusia mahu pun hal yang tidak terlintas dan tidak terjangkau oleh fikiran manusia. Allah (SWT) telah merahmati orang Islam dengan kehadiran para Rasul dan Nabi.

Selepas daripada itu kita dirahmati pula oleh Allah (SWT) dengan kehadiran para pewaris Nabi dikalangan para 'ulama' sebenar yang soleh. Mereka inilah orang-orang yang benar-benar memahami Quran dan Hadis maka kita wajiblah sentiasa belajar dan merujuk kepada mereka. Berhentilah dari menggunakan sumber lain yang merosakkan Iman dan Islam.

Ayat di atas tadi menyatakan bahawa Quran itu tiada keraguan di dalamNya dan diturunkan kepada Nabi Muhammad (SAW). Maka cukuplah bagi seorang Islam menjadikan Quran dan Hadis itu sebagai panduan terutama sekali dalam perkara yang sememangnya bukan dalam dunia atau alam kita yang nyata ini. Siapakah lagi yang lebih mengetahui tentang perkara ghaib selain dari Allah (SWT) dan RasulNya (SAW). Kita juga dirahmati dengan kehadiran para 'Ulama' dan Awliya' Allah (SWT). Mereka merupakan orang-orang pilihan Allah Ta'ala.

Ayat ini dengan jelas menyebut orang yang benar-benar Taqwa itulah yang beriman kepada perkara yang ghaib. Taqwa itu wajib ada dalam kita mempercayai tentang perkara ghaib. Jika tiada Taqwa maka akan rosaklah Iman dan Islam. Mempercayai perkara ghaib dengan tidak dibatasi Taqwa adalah sesuatu yang jelas menjahanamkan.

Setelah itu mereka ini adalah orang yang memelihara solah, membelanjakan harta mereka di jalan Allah (SWT) dan beriman dengan sebenar-benarnya kepada segala apa yang telah diturunkan Allah (SWT) kepada Nabi Muhammad (SAW) dan kepada para Nabi dan Rasul sebelumnya. Mereka yakin dengan hari Akhirat dan sentiasa mempersiapkan diri untuknya.

Mereka sentiasa mendapat petunjuk dari Allah (SWT) dan beroleh kejayaan sebenar dariNya. Adakah sifat ini ada dikalangan mereka yang sentiasa melaungkan tentang perkara ghaib, alam ghaib dan segala apa yang berkisar tentangnya? Sedangkan telah jelas di dalam Al-Quran menunjukkan sifat yang sepatutnya ada pada mereka yang mempercayai tentang perkara ghaib.

Terdapat juga terlalu banyak hadis yang menerangkan tentang perkara ghaib. Keterangan tentang alam ghaib, makhluk ghaib dan berbagai lagi perkara sebegini terdapat banyak di dalam Al-Quran dan boleh juga dirujuk di dalam banyak Hadis. Para 'ulama' dan awliya' Allah (SWT) merupakan mereka yang dipilih Allah Ta'ala sebagai ahli yang pakar dalam hal ini.

Mereka diberi rahmat oleh Allah Azza wa Jalla dengan kefahaman yang tinggi dan tepat dalam semua hal tentang Islam. Islam itu merupakan cara hidup, satu-satunya cara hidup yang wajib kita amalkan dan Imani, tiada pilihan dan cara yang lain lagi! Carilah orang-orang pilihan Allah (SWT) , sayangi mereka dan rendahkanlah diri dengan membenarkan mereka mendidik, memimpin dan membimbing kita. Akuilah kejahilan dan kelemahan diri dan wajiblah kembali kepada Quran dan Sunnah, sekarang!

يَا قَهَّارُ يَا جَبَّارُ يَا بَدِيعَ السَّمَوَاتِ وَ الأَرْضِ يَا فَعَّالاً لِمَا يُريدُ أَفْرِغْ عَلَينَا صَبْرًا وَ ثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَ انْصُرْنَا عَلَى القَومِ الكَافِرِينَ

No comments:

Post a Comment