Thursday, December 17, 2009

Hijrah

Hijrah berasal dari perkataan hajara bermaksud tinggalkan atau berpindah dari sesuatu atau tempat kepada yang lain. Hijrah bermaksud keluar atau pindah dengan amat bersegera (Al-Marbawi). Hijrah boleh juga diertikan sebagai berpindah keluar dari keengkaran kepada ketaatan.

Hijrah Rasulullah SAW berlaku secara amat rapi dan tersusun. Terlalu banyak yang dapat dipelajari daripada peristiwa hebat ini. Allah SWT mampu sekiranya dikehendakiNya menghantar Rasulullah ke Madinah dengan jalan yang mudah, selesa dan selamat sepertimana peristiwa Isra’ Mi’raj sebagai contoh. Iradah Allah tidak begitu, hijrah dipenuhi peristiwa mendebarkan. Nabi mendapat jaminan perlindungan Allah, tetapi diperintahkan menempuhi perjalanan yang payah.

Terpaksa melepasi buruan kaum kafir Quraish yang mahu membunuh Baginda. Perancangan kaum kafir amat rapi namun perancangan hijrah Nabi ilham dari Allah jauh lebih rapi dan tersusun. Rasulullah setiap saat meyakini bahawa Allah sentiasa melindunginya. Namun Baginda tetap melaksanakan kewajipan ikhtiar dalam menjayakan hijrah dengan sebaik-baiknya. Hijrah bukanlah peristiwa yang terjadi secara mengejut atau kebetulan dalam kehidupan Rasulullah SAW.

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالَّذِينَ آوَوْا وَنَصَرُوا أُولَئِكَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ وَالَّذِينَ آمَنُوا وَلَمْ يُهَاجِرُوا مَا لَكُمْ مِنْ وَلايَتِهِمْ مِنْ شَيْءٍ حَتَّى يُهَاجِرُوا وَإِنِ اسْتَنْصَرُوكُمْ فِي الدِّينِ فَعَلَيْكُمُ النَّصْرُ إِلا عَلَى قَوْمٍ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ مِيثَاقٌ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah, dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), mereka semuanya menjadi penyokong dan pembela antara satu dengan yang lain. dan orang-orang yang beriman yang belum berhijrah, maka kamu tidak bertanggungjawab sedikitpun untuk membela mereka sehingga mereka berhijrah. dan jika mereka meminta pertolongan kepada kamu dalam perkara (menentang musuh untuk membela) ugama, maka wajiblah kamu menolongnya, kecuali terhadap kaum yang ada perjanjian setia di antara kamu dengan mereka. dan (ingatlah) Allah Maha Melihat akan apa yang kamu lakukan.
(Al-Anfal: 72)

Perpindahan atau hijrah dalam Islam bukan hanya terbatas pada perpindahan tempat. Hijrah akhlak daripada yang buruk kepada yang baik, hijrah daripada yang tercela kepada yang terpuji merupakan perpindahan yang utama. Begitulah yang telah dinyatakan dalam maksud hadis ini.

عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ عُمَرَ رَضِىَ اللهُ عَنْهُمَا قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَفْضَلُ الْمُهَاجِرِيْنَ مَنْ هَهَجَر مَـا نَهَى اللهُ تَعَـالَى عَنْهُ
"Dari Abdullah Bin ‘Umar (ra) katanya: Telah bersabda Rasulullah saw: "Sebaik-baik orang yang berhijrah adalah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah SWT."
(Riwayat At-Tabrani)

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلا تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنْتُمْ عَلَى شَفَا حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ فَأَنْقَذَكُمْ مِنْهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ
"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya." (Ali ‘Imran: 103)

Ini diantara peristiwa dari hijrah yang amat penting dalam mewarnai ketamadunan manusia. Dimana Islam telah terbukti menyelamatkan dan memuliakan sebuah masyarakat dan negara. Dari pengorbanan kamu Ansar kepada kaum Muhajirin yang menjadi bersaudara sehidup semati atas dasar Islam hasil dari hijrah. Kaum Ansar melaksanakan hijrah ketaatan manakala kaum Muhajirin melaksanakan hijrah perpindahan tempat dan kehidupan.

عن عمر بن الخطّاب رضي الله عنه قال سمعت رسولَ الله صلى الله عليه وسلم يقول: إنما الأعمال بالنيات وإنما لكلِ أمْرِئٍ ما نوى فمن كانت هجرته إلى الله ورسوله فهجرته إلى الله ورسوله وان كانت هجرته إلى دنيًا يُصِيْبُهَا أو إلىَ أمْرَأَةٍ ينكحها فهجرته إلى ماها جر إليه
"Dari Umar bin Al-Khattab RA telah berkata, aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya setiap amalan bergantung kepada apa yang diniatkan. Sesungguhya bagi setiap urusan adalah atas (ganjaran) bagi apa yang diniatkannya. Barangsiapa hijrahnya untuk Allah & RasulNya maka hijrahnya untuk Allah & RasulNya. Barang siapa hijrahnya untuk dunia yang dihajatinya atau perempuan yang ingin dinikahinya, maka (ganjaran) hijrahnya pada apa yang diniatkan.”

Hadis ini diriwayatkan oleh seorang yang telah berhijrah seluruh kehidupan beliau dari dipenuhi kebencian, dendam, dosa, maksiat dan permusuhan terhadap Islam kepada keimanan sejati. Beliau telah berpindah dari keengkaran kepada ketaatan sebenar, bertukar sepenuhnya. Selepas penghijrahan seluruh hidup beliau adalah untuk Islam. Hijrah Umar RA adalah perkara ajaib yang luar biasa yang wajib dicontohi.

Terlalu banyak pengajaran yang dapat direnung dalam peristiwa hijrah. Antaranya secara ringkas:
  1. Perancangan dan perlaksanaan rapi penting dalam semua urusan agama.
  2. Dijayakan semua dari golongan kaya, miskin, hamba, tua, muda, ahli keluarga yang sepakat, bantuan pihak luar termasuk dari seorang kafir dan pelbagai pengorbanan masa dan harta tanpa berkira-kira demi agama Allah.
  3. Persediaan dan pengorbanan yang pelbagai; ilmu, harta, diri dan masa.
  4. Penekanan kepada pengkhususan bidang, fungsi, ilmu dan kepakaran masing-masing.
  5. Kerjasama erat dan sistematik walau dengan yang bukan Islam asalkan boleh dipercayai.
  6. Pengisian kekuatan material, fizikal dan mental yang bersepadu dari semua pihak.
  7. Paling utama adalah kehambaan serta iman dan taqwa yang mutlak.

No comments:

Post a Comment