Wednesday, December 23, 2009

Gangguan Saka (Kejinan) Keturunan (Bahagian Pertama)

بِسْمِ اللهِ مَا شَاءَ اللهُ وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ

Sebuah keluarga bahagia dengan ibubapa yang penyayang menjalani kehidupan bersama selama berpuluh-puluh tahun. Anak-anak mereka semuanya telah menempa kejayaan dalam hidup mereka. Dengan rezeki yang berlimpah-ruah anugerah Allah Ta'ala dan anak-anak yang taat dan berjaya, semuanya indah belaka. Tambahan pula kedua ibubapa yang kini telah lanjut usia sememangnya sepasang insan yang taat menjalani kehidupan sebagai hamba Allah (SWT). Suaminya berkewibawaan dengan keagamaan yang bagus dan isterinya pula taat serta patuh kepada suami.

50 tahun telah dihabiskan bersama. Mempunyai anak-anak yang ramai dan kesemuanya merupakan anak-anak yang taat dan berjaya. Namun setelah berpuluh tahun mengecapi bahagia, keluarga ini akhirnya menghadapi kehancuran. Kehancuran akibat dari kerja musuh-musuh Allah (SWT) yang ghaib, yang tidak nampak dek mata kasar. Datangnya bala tersebut tidak diduga dan tidak sama sekali terlintas dibenak fikiran mereka.

Perkara pertama yang berlaku ialah siibu yang sudah dicintai suami kerana ketaatannya dan dikasihi anak-anak kerana keibuannya telah menjadi seperti mayat hidup. Dengan tekanan darahnya yang cuma 55/45 sahaja, tidak begitu berselera makan dan minum selama lebih sebulan tetapi badan kekal berisi dan gemuk, melaga-lagakan dan mengapi-apikan perbalahan dikalangan anak dan menantu. Pelbagai perilaku yang pelik dan merosakkan dibawa oleh siibu yang hakikatnya bukan lagi diri beliau yang sebenar.

Dalam pada keadaam kesihatan yang menunjukkan tanda-tanda amat sakit atau tidak sihat, siibu mash lagi terdaya untuk berjalan kesana-sini untuk menjaja fitnah. Sehinggalah satu tahap beliau tidak lagi mampu bergerak seperti biasa dan tidak juga mahu mengenakan sebarang pakaian. Anak-anak dan menantu serta cucu beliau telah hilang upaya dan ikhtiar untuk menangani masalah yang telah berlarutan untuk suatu tempoh yang agak panjang ini. Walau pun mereka semua berpendidikan tinggi namun mereka tiada ilmu, bimbingan dan pengalaman dalam menangani perkara sebegini.

Apa yang amat menyeramkan mereka ialah apabila siibu yang sudah tidak seperti biasa tadi terlalu kerap merayu agar salah seorang dari mana-mana anak perempuan beliau mewarisi sesuatu dari beliau. "Ambillah.... kesian mak.... ambillah nak...." bisik siibu ke telinga anak-anak perempuan yang datang menghampiri beliau. Sambil beliau meminta agar mencium beliau di bahagian mulut untuk "mengambil" sesuatu itu. Anak-anak, menantu-menantu serta cucu-cucu beliau yang terlalu kasih, cinta dan sayangkan beliau menjadi takut dan bingung.

Setelah diikhtiarkan pelbagai usaha di bermacam-macam tempat, dengan rahmat Allah Ta'ala, pada suatu malam yang tenang, siibu telah pergi dengan aman dan senyuman. Dengan ikhtiar terakhir dari kehambaan sebenar kepada Allah 'Azza wa Jalla, selang cuma beberapa jam, siibu telah pergi dengan aman dan tenteram. Siibu diberi minum air yang telah didoakan dan dimandikan dengan campuran beberapa ramuan mudah pada selepas solah Asar di waktu siang pada hari tersebut. Apa yang paling penting ialah, seluruh ahli keluarga telah berjemaah bermunajat pada Allah (SWT) dengan ilmu dan bimbingan dari orang pilihan Allah Ta'ala.

.......................bersambung.............inshaAllah.

No comments:

Post a Comment