Friday, December 25, 2009

Amalan Berpuasa

قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ. اللَّهُ الصَّمَدُ. لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ. وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ
“Katakanlah (Wahai Muhammad); (Tuhanku) ialah Allah yang Maha Esa. Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon segala hajat. Ia tiada beranak dan ia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya."

Berpuasa merupakan suatu rahmat yang sangat besar dari Allah (SWT). Manakala Ramadhan merupakan suatu kurnia Allah (SWT) yang terlalu bernilai untuk disia-siakan. Adakalanya kelemahan diri (kelemahan iman sebenarnya) dan ditambah pula dengan penyakit seperti gastrik dan sebagainya maka tidak mampu menunaikan ibadah puasa yang menjadi rukun Islam yang ketiga ini. Amalkanlah Surah Al-Ikhlas seperti yang tercatat di atas.

Ini akan memberikan ruh dan jasad kekuatan untuk melalui lapar dan dahaga. Juga membantu menghadapi rasa ketagihan nafsu yang jahat serta biadap sewaktu berpuasa seperti ketagihan rokok dan sebagainya. Amalkanlah sebanyak mungkin pada bila-bila masa terutamanya apabila terasa nafsu lapar atau dahaga atau ketagihan itu mengganggu.

Dengan izin dan rahmat Allah (SWT) cara ini amat berkesan. Ada seorang anak murid saya yang hampir tidak pernah berpuasa lebih dari 40 tahun tetapi akhirnya mampu melaksanakan ibadah puasa dengan sempurna hingga ke hari ini yang telah menjadi Ramadhan sempurna (inshaAllah) yang kesepuluh (rasanya) bagi beliau. Semuanya dengan rahmat Allah (SWT) jua.

10 Muharram merupakan hari Asyura yang dahulunya pernah difardhukan puasa semasa sebelum datangnya fardhu Ramadhan bagi meraikan kesyukuran atas nikmat yang telah dianugerahkan kepada Nabi Musa (AS). Nabi Muhammad (SAW) bersabda bahawa baginda lebih berhak meraikan Nabi Musa (AS) dari golongan kafir yahudi. Puasa hari Asyura merupakan juga amalan kaum yahudi. Oleh itu lebih baik dan sempurna dilaksanakan puasa hari Tasu'a iaitu sehari sebelum Asyura pada 9 Muharram.

Sempurnakanlah diri kita dengan kehambaan melalui cara memperbanyakkan zikir. Zikir bagi menjadi hambaNya yang sebenar-benar hamba. Zikir yang luas kaedahnya yang terdiri dari amalan, sebutan dan perbuatan. Malahan berpuasa itu merupakan zikir bagi memperolehi taqwa.. Zikir itu menenangkan ruh; menguatkan, menambah dan memperbaharui iman serta memberikan kejayaan hakiki kepada orang-orang yang benar-benar beriman. Iman yang disangga ilmu dan bimbingan kehambaan.

No comments:

Post a Comment