Thursday, December 31, 2009

Perkara Ghaib

أَعُوْذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ كُلِّهَا مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ

Dalam Islam tiada apa yang kabur atau tidak jelas sekiranya diukur dengan ilmu dan kefahaman dalam perkara Syaria't atau Fiqh. Dengan merujuk kepada Quran, Hadis, Ijma' dan Qiyas tiada apa yang kabur, tidak jelas atau tidak pasti. Ianya tidak jelas kepada orang-orang awam seperti kita yang tidak mempunyai ilmu dan kefahaman yang memadai tentang Syari'at atau Fiqh. Kerana itu kita wajib berpegang dengan bimbingan ilmu dan kefahaman dari 'ulama soleh lagi wara'.

Dalam Islam digariskan terlalu banyak panduan asas tentang mengenali sumber dan pengaruh sesuatu ilmu itu, sama ada ianya berunsur kejinan atau tidak. Apa yang menjadi masalah ialah diri kita orang-orang awam yang jahil ini berani pula mempertikaikan ilmu dan kefahaman 'ulama' hingga mengakibatkan kesesatan dan kesombongan. Semoga Allah (SWT) melindungi kita dari semua itu dan memberikan kita jiwa kehambaan sebenar.

Bagi makhluk, qada dan qadar itu datangnya dengan Syari'at atau Fiqh. Wajib kita melihat, mengukur dan meneliti segala sesuatu itu bersandarkan dengan ilmu kehambaan yakni ilmu mendidik manusia menjadi hamba Allah (SWT) yang sebenar-benar hamba iaitu ilmu Syaria't atau Fiqh. Itulah ilmu yang menterjemahkan Iman dan itulah dia salah satu cabang utama ilmu tentang Iman, tanpanya maka rosaklah Iman.

Memang berlaku kepada orang-orang pilihan Allah (SWT) dizaman dahulu hinggalah sekarang perkara mencarik adat seperti kebal dalam keadaan tertentu tetapi wajiblah kita teliti segala yang terjadi dengan ilmu Syari'at. Mereka yang benar-benar menjadi pilihan Allah (SWT) ini adalah mereka yang beramal bagi mendapat Iman dan berdoa memohon Iman, bukan beramal dan berdoa untuk suatu kehebatan.

Amalan seseorang itu hakikatnya adalah tidak lain dan tidak bukan hanyalah bagi menjadi hamba Allah (SWT) yang sebenar-benar hamba. Biarlah amalan dan segala inci kehidupan kita itu mendapat rahmat dan kasih Allah (SWT) serta kasih Nabi Muhammad (SAW). Itulah yang menjadi matlamat hidup kita dijadikan. Hiduplah berlandaskan dalil Naqli dan Aqli terjemahan dari ilmu dan kefahaman 'ulama', bukan tafsiran dangkal dari kejahilan diri.

Perkara ini ditimbulkan dalam nukilan sidhaif pada kali ini kerana ianya berkaitan dengan kesembuhan dari pelbagai perkara yang banyak mengganggu masyarakat Melayu. Perkara berunsur kejinan dan terlalu banyak masalah yang timbul darinya. Bukan sahaja sakit sehingga ada yang hilang akal atau lebih teruk lagi malahan hilang amalan soleh dan Iman akibat darinya. Yakinlah bahawa tiada persoalan yang tidak terungkai dalam Islam.

Kesemua aspek hidup dan mati makhluk, malahan selepas mati, ada dibentangkan dalam Al-Quran dan Sunnah. Selepas dari itu ada pula Ijma' dan Qiyas para 'ulama'. Tundukkanlah nafsu dan akulilah kehambaan kepada Allah (SWT). Carilah orang-orang pilihan Allah (SWT) yang dapat mendidik, membimbing dan memimpin ke arah taat dan taqwa kepada Allah Ta'ala.

أَصْلَحَ اللهُ أُمُوْرَ الْمُسْلِمِيْنَ, صَرَفَ اللهُ شَرَّ الْمُوْذِيْنَ

Wednesday, December 30, 2009

Kebatinan & Alam Ghaib

“Alif, Laam, Miim. Kitab Al-Quran itu, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa. Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Dan juga orang-orang yang beriman kepada kitab Al-Quran yang diturunkan kepadamu (Muhammad), dan kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya). Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya.” (Al-Baqarah: 1-5)

Jelas ayat ini menunjukkan bahawa kita wajib beriman dan percaya kepada perkara ghaib. Persoalannya ialah perkara yang bagaimana? Sekiranya dalam ayat yang jelas ini telah menyatakan tentang beriman kepada perkara yang ghaib maka sudah tentu terdapat penjelasan tentang perkara ghaib yang jelas di dalam Quran dan Hadis.

Dalam hal ini Ibnu Mas'ud mengatakan bahawa apa yang dimaksudkan dengan yang ghaib itu adalah segala apa yang ghaib dari kita dan perkara itu wajiblah diberitakan oleh Allah dan RasulNya melalui Al-Quran dan Hadis. Disini jelas menunjukkan bahawa kita wajib sentiasa merujuk kepada Quran dan Hadis dalam hal yang membicarakan tentang perkara ghaib.

Sudah tiba masanya kita tolak kepercayaan karut marut yang di pengaruhi oleh kepercayaan selain dari Islam. Alam Melayu terlalu banyak perngaruh hindu, semangat, buddha dan sebagainya yang mana ianya merosakkan Iman. Ada kepercayaan yang telah terlalu sebati dalam alam Melayu hingga menjadi kata putus bagi golongan sesat dan jahil dalam perkara ghaib ini.

Terlalu menyedihkan apabila melihat orang Islam sendiri percaya kepada dewa dewi, bunian, hantu, polong dan sebagainya dengan cara dan kepercayaan yang bertentangan dengan Islam. Allah (SWT) telah mengutuskan Nabi Muhammad (SAW) dengan panduan hidup yang paling lengkap dan sempurna. Orang Islam wajib meyakini sepenuhnya akan perkara ini.

Tidak perlu kita merosakkan Iman dan Islam sendiri dengan mencari fakta dan hujah lain dalam memahami perkara ghaib. Ilmu Islam mencakupi segala hal, sama ada hal yang ada di fikiran manusia mahu pun hal yang tidak terlintas dan tidak terjangkau oleh fikiran manusia. Allah (SWT) telah merahmati orang Islam dengan kehadiran para Rasul dan Nabi.

Selepas daripada itu kita dirahmati pula oleh Allah (SWT) dengan kehadiran para pewaris Nabi dikalangan para 'ulama' sebenar yang soleh. Mereka inilah orang-orang yang benar-benar memahami Quran dan Hadis maka kita wajiblah sentiasa belajar dan merujuk kepada mereka. Berhentilah dari menggunakan sumber lain yang merosakkan Iman dan Islam.

Ayat di atas tadi menyatakan bahawa Quran itu tiada keraguan di dalamNya dan diturunkan kepada Nabi Muhammad (SAW). Maka cukuplah bagi seorang Islam menjadikan Quran dan Hadis itu sebagai panduan terutama sekali dalam perkara yang sememangnya bukan dalam dunia atau alam kita yang nyata ini. Siapakah lagi yang lebih mengetahui tentang perkara ghaib selain dari Allah (SWT) dan RasulNya (SAW). Kita juga dirahmati dengan kehadiran para 'Ulama' dan Awliya' Allah (SWT). Mereka merupakan orang-orang pilihan Allah Ta'ala.

Ayat ini dengan jelas menyebut orang yang benar-benar Taqwa itulah yang beriman kepada perkara yang ghaib. Taqwa itu wajib ada dalam kita mempercayai tentang perkara ghaib. Jika tiada Taqwa maka akan rosaklah Iman dan Islam. Mempercayai perkara ghaib dengan tidak dibatasi Taqwa adalah sesuatu yang jelas menjahanamkan.

Setelah itu mereka ini adalah orang yang memelihara solah, membelanjakan harta mereka di jalan Allah (SWT) dan beriman dengan sebenar-benarnya kepada segala apa yang telah diturunkan Allah (SWT) kepada Nabi Muhammad (SAW) dan kepada para Nabi dan Rasul sebelumnya. Mereka yakin dengan hari Akhirat dan sentiasa mempersiapkan diri untuknya.

Mereka sentiasa mendapat petunjuk dari Allah (SWT) dan beroleh kejayaan sebenar dariNya. Adakah sifat ini ada dikalangan mereka yang sentiasa melaungkan tentang perkara ghaib, alam ghaib dan segala apa yang berkisar tentangnya? Sedangkan telah jelas di dalam Al-Quran menunjukkan sifat yang sepatutnya ada pada mereka yang mempercayai tentang perkara ghaib.

Terdapat juga terlalu banyak hadis yang menerangkan tentang perkara ghaib. Keterangan tentang alam ghaib, makhluk ghaib dan berbagai lagi perkara sebegini terdapat banyak di dalam Al-Quran dan boleh juga dirujuk di dalam banyak Hadis. Para 'ulama' dan awliya' Allah (SWT) merupakan mereka yang dipilih Allah Ta'ala sebagai ahli yang pakar dalam hal ini.

Mereka diberi rahmat oleh Allah Azza wa Jalla dengan kefahaman yang tinggi dan tepat dalam semua hal tentang Islam. Islam itu merupakan cara hidup, satu-satunya cara hidup yang wajib kita amalkan dan Imani, tiada pilihan dan cara yang lain lagi! Carilah orang-orang pilihan Allah (SWT) , sayangi mereka dan rendahkanlah diri dengan membenarkan mereka mendidik, memimpin dan membimbing kita. Akuilah kejahilan dan kelemahan diri dan wajiblah kembali kepada Quran dan Sunnah, sekarang!

يَا قَهَّارُ يَا جَبَّارُ يَا بَدِيعَ السَّمَوَاتِ وَ الأَرْضِ يَا فَعَّالاً لِمَا يُريدُ أَفْرِغْ عَلَينَا صَبْرًا وَ ثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَ انْصُرْنَا عَلَى القَومِ الكَافِرِينَ

Tuesday, December 29, 2009

Ziarah

Menziarahi orang yang sakit merupakan suatu amalan yang amat disukai oleh ikutan kita kekasih Allah (SWT) Nabi Muhammad (SAW). Ianya disebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim sebagai salah satu dari hak yang perlu ditunaikan terhadap sesama Islam. Seringkali kita lupa dan tidak mengendahkan perkara ini.

Namun perlulah kita mengamalkan sifat berhati-hati yang menepati sunnah dalam melaksanakan perkara tersebut. Disamping persediaan perlindungan bagi pencegahan atau penularan penyakit yang lebih serius kita juga perlu mendoakan agar saudara kita mendapat kesembuhan dari Allah (SWT). Itulah adab tertib yang mesti diambil perhatian.

Kerana itu perlulah kita mempersiapkan diri dengan perlindungan aspek perubatan (medical protection) dan juga perlindungan dalaman atau mungkin boleh disebut sebagai pendinding. Terdapat banyak amalan yang Nabi Muhammad (SAW) sendiri amalkan sebagai suatu bentuk perlindungan atau pendinding. Terdapat juga amalan yang diamalkan oleh para sahabat (RA), tabi'in, tabi'it tabi'in serta para 'ulama' yang juga berlandaskan sunnah Nabi (SAW).

Disebutkan satu disini sebagai pendahuluan dan dengan rahmat Allah (SWT) amalan yang lain akan menyusul inshaAllah. Bolehlah diamalkan ayat berikut yang menjadi amalan Nabi Muhammad (SAW) sebanyak 3 kali pada waktu pagi dan 3 kali pada waktu petang:

بِسْمِ اللهِ الَّذِي لاَ يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي اْلأَرْضِ وَلاَ فِي السَّمَاءِ وَ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْم
(Dengan nama Allah yang tidak akan memberi mudharat selagi bersama dengan namaNya segala yang di bumi dan tidak juga segala yang di langit dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui)

Mendoakan kesembuhan untuk sesama Islam juga menjadi amalan yang amat diutamakan oleh Nabi Muhammad (SAW). Begitulah sifat kasih sayang yang sepatutnya sentiasa diamalkan terhadap sesama orang-orang beriman. Bacakanlah doa ini sebanyak 7 kali sewaktu menziarahi saudara kita yang sedang sakit:
اَسْأَلُ اللهَ الْعَظِيْمَ ربَّ الْعَرْشِ الْعَظِيْمِ اَنْ يَشْفِيْكَ إِلاَّ عُوْفِيَ
(Aku meminta kepada Allah yang Maha Mulia Tuhan yang memiliki 'Arash yang mulia yang akan menyembuhkan engkau melainkan disembuhkan)

Betulkanlah persepsi tentang apa yang dikatakan pendinding, zikir, ayat atau doa serta ikhtiar kesembuhan dari sumber Al-Quran dan Sunnah. Ianya suatu amalan bagi beroleh rahmat dariNya. Bukanlah pendinding untuk beroleh kehebatan dan hakikatnya tidak pula ilmu kesembuhan itu bagi untuk menjadi tabib atau bomoh. Semuanya bagi memberikan tumpuan kepada Allah (SWT) dalam setiap masa dan kedaan dan menyatakan kasih sayang (ruhama') sesama orang beriman.

Monday, December 28, 2009

Kesembuhan & Perlindungan

اَللّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ وَبِكَلِمَاتِكَ تَامَّةِ مِنَ الرِّيْحِ اْلأَحْمَر وَمِنَ الدَّاءِ اْلأَكْبَر فِيْ نَفْسِيْ وَرُوْحِيْ وَدَمِىْ وَلَحْمِىْ وَشَحْمِيْ وَجِلْدِيْ وَعَرَقِيْ وَعَصَبِيْ فَإِذَا قَضَيْتَ أَمْرًا فَإِنَّمَا يَقُوْلُ لَهُ كُنْ فَيَكُوْن. الله أكبر الله أكبر الله أكبر وَلاَ حَوْلاَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ باللهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيْم
"Ya Allah ya Tuhanku. Sesungguhnya aku berlindung dengan Engkau dan dengan beberapa Kalimah Engkau yang sempurna dari penyakit angin ahmar dan dari penyakit-penyakit yang besar pada diriku dan rohku dan darahku dan dagingku dan lemakku dan kulitku dan urat sarafku. Maka apabila Engkau tunaikan sesuatu pekerjaan (perintahMu) maka sesungguhnya dengan berkata jadilah maka jadilah ia . Allah Maha Besar (3x) Tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah yang Maha Tinggi Maha Mulia."

Ini merupakan salah satu doa bagi memohon perlindungan dari Allah (SWT) agar dijauhi dari penyakit dan wabak yang besar-besar serta berbahaya. Amalkanlah ia sentiasa pada setiap masa terutamanya pada waktu amat diperlukan dan diwaktu paling baik berdoa. Sekiranya belum mampu membaca dalam tulisan Arab maka berusahalah dahulu dengan berdoa menggunakan terjemahan bahasa Malaysia. Rugilah sekiranya tidak berusaha dengan gigih untuk membaca bahasa Al-Quran iaitu bahasa Arab.

Berdoa itu terlalu penting dalam segala urusan. Allah (SWT) amat kasih kepada hambaNya yang sentiasa berharap dan memohon kepadaNya. Doa itu juga suatu usaha malahan ianya adalah inti dan asas utama dalam segala urusan. Ketahuliah bahawa segala-galanya itu ketentuanNya. Tawakkal kepada Allah (SWT) itu membawa erti melaksanakan segala yang perlu mengikut perintahNya dalam menjayakan sesuatu urusan. Tawakkal itu merupakan suatu pekej kehambaan yang lengkap dengan usaha, doa dan penyerahan.

Tawakkal adalah sifat orang yang beriman dan wajib dilaksanakan dengan pekej yang lengkap. Usaha yang bertepatan dengan kehendakNya, doa yang sentiasa dipanjatkan dengan penuh harap pada rahmatNya dan penyerahan yang mutlak bahawasanya hanya Dia yang menentukan segala-galanya. Bertawakkallah sebelum, semasa dan selepas segala usaha. Malahan tawakkal itu hendaklah sentiasa ada dalam diri pada setiap saat dan ketika. Hakikatnya tawakkal itu adalah penumpuan kita kepada Allah (SWT) dan hanya padaNya pada setiap saat dan ketika.

Sunday, December 27, 2009

Kebiasaan & Luar Biasa

Pada suatu hari selepas selesai kuliah agama sessi pagi maka bertemulah saya dengan seorang dari saudara yang menyertai kuliah yang saya adakan. Beliau sudah hampir 60 tahun umurnya. Wajahnya murung dan gelisah, terlalu jelas terpampang. Saya menyangkakan beliau adalah saudara baru kerana kuliah tersebut memang lebih ramai dihadiri saudara baru.

Beliau terpaksa mendapatkan pelbagai rawatan bagi masalah jiwa dan mengambil ubat-ubatan bagi membantu mengatasi masalah tersebut. Beliau mengatakan bahawa dirinya ada sakit mental. Maka saya terangkan bahawa Quran dan Sunnah itu penyembuh bagi penyakit mental dan fizikal, rohani dan jasmani serta zahir dan batin.

Beliau seronok dan amat berminat mendengarnya. Setelah dibuat sedikit penyelidikan terhadap kebiasaan hidup beliau maka dapatlah dirumuskan bahawa beliau gemar kepada perkara yang pelik-pelik atau dengan perkataan lain, perkara kejinan. Kebiasaan beliau inilah yang menjadi luar biasa. Memanglah menjadi suatu kebiasaan bagi iblis, syaitan dan kuncu-kuncunya dari kalangan jin dan juga manusia untuk mengganggu.

Terutamanya gangguan yang merosakkan kehambaan rohani dan jasmani. Gangguan ini merosakkan fizikal dan mental. Perubatan moden tidaklah salah sekiranya ianya tidak menyalahi hukum syari'at. Namun mereka yang pakar dalam perubatan moden sendiri sering mengakui bahawa terlalu banyak penyakit yang tidak boleh sembuh.

Malahan pengambilan kaedah perubatan moden secara berterusan juga mendatangkan pelbagai risiko zahir dan batin. Sebagai orang yang Islam kita diberikan rahmat kesembuhan dengan keimanan. Quran itu merupakan sumber kesembuhan yang hebat untuk orang-orang yang beriman. Apa yang luar biasanya ialah manusia gemar merintis perkara kejinan.

Perkara yang membawa kepada kerosakan iman dan amal. Bila sudah merosak fikiran dan melemahkan jiwa, maka tiada lain yang dapat selain dari kerugian. Luar biasa juga apabila kita tidak mahu mengamalkan perintah Allah Ta'ala atau sunnah Nabi (SAW). Bermacam-macam amalan yang ringkas dan mudah untuk dilaksanakan bagi tujuan menjadikan kehidupan kita lebih berkualiti, sihat zahir dan batin serta rohani dan jasmani.

Apabila bala atau penyakit menimpa barulah dicarinya orang agama. Minta doakan pada air, pada diri dan macam-macam. Ini tidaklah salah tetapi kita mestilah ada sifat malu pada Dia (SWT). Carilah Allah Ta'ala ketika susah dan senang, sakit dan sihat. Perintah Allah (SWT) atau sunnah Nabi Muhammad (SAW) itu merupakan satu kesembuhan dan pencegahan dari segala macam penyakit, sama ada mental mahu pun fizikal, individu mahu pun masyarakat.

Nikmatilah rahmat yang Dia (SWT) anugerahkan kepada kita semua. Perintah Allah (SWT) itu merupakan rahmat dan penyelamat yang terlalu besar. Ilmu, amalan dan kefahaman kehambaan itu merupakan rahmat dan penyelamat yang amat besar. Allah Ta'ala yang Maha Pencipta maka Dia (SWT) sahajalah yang memahami tentang segala yang telah diciptaNya.

الله الله رَبُّنَا الله. الله الله حَسْبُنَا الله. نَحْمَدُ اللهَ نَشْكُرُ اللهَ ذَٰلِكَ فَضْلٌ مِّنَ اللهِ

Menghindarkan Musibah Diri

Sesuatu yang berlaku ke atas diri kita merupakan natijah yang datangnya dari kesilapan, kesalahan dan dosa yang telah dilakukan. Memohonlah kita keampunan dan rahmat kasih sayang dariNya. Kerosakan yang berlaku di dunia ini adalah akibat dari perbuatan yang telah dilakukan oleh manusia sendiri. Diri diperbaiki maka akan baiklah segala perkara, semata-mata dengan rahmatNya.

Berlakulah pula kerosakan pada diri sendiri yang membawa kepada kehancuran Iman dan menghapuskan amalan. Kezaliman berleluasa akibat dari rosaknya Iman. Nafsu bergelojak dan merosakkan manusia akibat dari dosa yang telah dilakukan. Semua saluran kerosakan, gangguan dan penyakit terbuka dan diri menjadi lemah dan tidak lagi bermaya.

Diri menjadi tandus dengan amalan soleh dan terus ditenggelami amalan kehancuran yang merosakkan kebahagiaan. Pelbagai masalah timbul dan terasa hidup ini sempit dan penuh sengsara. Itulah yang sering terjadi pada masa kini terhadap kaum Muslimin dan Muslimat umumnya. Kerana itu terjadilah bermacam-macam gangguan penyakit fizikal, mental dan sebagainya.

Untuk mendapat kekuatan dan kemantapan jiwa serta menghindarkan diri daripada musibah yang menarik kepada kancah kekufuran, kesyirikan serta kejinan dan kezaliman, di nasihatkan kepada para Muslimin dan Muslimat agar mengamalkan membaca ayat Kursi, selawat dan istighfar sebanyak 40 ribu kali. Amalan ini juga memberikan kekuatan dalam melaksanakan ketaatan.

Untuk mencukupkan bilangan bacaan ayat Kursi 40 ribu, selawat 40 ribu dan istighfar 40 ribu tidaklah ditetapkan satu-satu masa akan tetapi terserah kepada kemampuan kaum Muslimin dan Muslimat sendiri. Sekiranya diamalkan 20 kali setiap kali selesai solah pada setiap hari maka genap 100 kali sehari. Ini cuma mengambil masa lebih sedikit dari setahun untuk mencukupkan bilangannya.

Selawat yang disyorkan:
أَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَ رَسُولِكَ النَِّبيِّ اْلأُمِّيِّ وَ عَلَى آلِهِ وَ صَحْبِهِ وَ سَلِّمْ
“Ya Allah Kau curahkanlah rahmat dan kesejahteraan ke atas penghulu (pemimpin) kami Nabi Muhammad seorang hambaMu dan rasulMu lagi nabiMu yang Ummi, ahli keluarganya dan para sahabatnya.”

Istighfar yang disyorkan:
لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّى كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ
”Tiada Tuhan yang sebenar-benarnya melainkan Engkau, Maha sucilah Engkau Ya Allah daripada segala sifat kekurangan, sesungguhnya aku tergolong daripada orang yang zalim.”

Walaupun selawat dan istighfar ini telah habis dibaca sebanyak 40 ribu kali tetapi hendaklah berusaha bersungguh-sungguh agar dapat diamalkannya setiap hari sekurang-kurangnya 100 kali dalam sehari semalam. Tiada lain yang akan diperolehi dari amalan soleh melainkan kejayaan, ketenangan dan kebahagiaan sebenar. Segala-galanya dengan rahmat dan izin Allah (SWT).

Friday, December 25, 2009

Amalan Berpuasa

قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ. اللَّهُ الصَّمَدُ. لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ. وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ
“Katakanlah (Wahai Muhammad); (Tuhanku) ialah Allah yang Maha Esa. Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon segala hajat. Ia tiada beranak dan ia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya."

Berpuasa merupakan suatu rahmat yang sangat besar dari Allah (SWT). Manakala Ramadhan merupakan suatu kurnia Allah (SWT) yang terlalu bernilai untuk disia-siakan. Adakalanya kelemahan diri (kelemahan iman sebenarnya) dan ditambah pula dengan penyakit seperti gastrik dan sebagainya maka tidak mampu menunaikan ibadah puasa yang menjadi rukun Islam yang ketiga ini. Amalkanlah Surah Al-Ikhlas seperti yang tercatat di atas.

Ini akan memberikan ruh dan jasad kekuatan untuk melalui lapar dan dahaga. Juga membantu menghadapi rasa ketagihan nafsu yang jahat serta biadap sewaktu berpuasa seperti ketagihan rokok dan sebagainya. Amalkanlah sebanyak mungkin pada bila-bila masa terutamanya apabila terasa nafsu lapar atau dahaga atau ketagihan itu mengganggu.

Dengan izin dan rahmat Allah (SWT) cara ini amat berkesan. Ada seorang anak murid saya yang hampir tidak pernah berpuasa lebih dari 40 tahun tetapi akhirnya mampu melaksanakan ibadah puasa dengan sempurna hingga ke hari ini yang telah menjadi Ramadhan sempurna (inshaAllah) yang kesepuluh (rasanya) bagi beliau. Semuanya dengan rahmat Allah (SWT) jua.

10 Muharram merupakan hari Asyura yang dahulunya pernah difardhukan puasa semasa sebelum datangnya fardhu Ramadhan bagi meraikan kesyukuran atas nikmat yang telah dianugerahkan kepada Nabi Musa (AS). Nabi Muhammad (SAW) bersabda bahawa baginda lebih berhak meraikan Nabi Musa (AS) dari golongan kafir yahudi. Puasa hari Asyura merupakan juga amalan kaum yahudi. Oleh itu lebih baik dan sempurna dilaksanakan puasa hari Tasu'a iaitu sehari sebelum Asyura pada 9 Muharram.

Sempurnakanlah diri kita dengan kehambaan melalui cara memperbanyakkan zikir. Zikir bagi menjadi hambaNya yang sebenar-benar hamba. Zikir yang luas kaedahnya yang terdiri dari amalan, sebutan dan perbuatan. Malahan berpuasa itu merupakan zikir bagi memperolehi taqwa.. Zikir itu menenangkan ruh; menguatkan, menambah dan memperbaharui iman serta memberikan kejayaan hakiki kepada orang-orang yang benar-benar beriman. Iman yang disangga ilmu dan bimbingan kehambaan.

Gangguan Saka (Kejinan) Keturunan (Bahagian Akhir)

أعوذ بعزة الله وقدرته من شر ما أجده و أحاذر

Dengan izin dan rahmat Allah Ta'ala maka telah sembuhlah siibu. Namun begitu Allah Ta'ala lebih menyayangi beliau dan telah pergilah siibu dengan aman. Walau pun terpaksa mengeluarkan beberapa kali agak banyak darah melalui pembuangan air besar (memakai lampin dewasa), namun diraut wajah siibu nampak jelas lega dan aman sewaktu menemui yang Maha Pencipta.

Selang cuma beberapa hari selepas kehilangan ini tiba-tiba berlaku pula beberapa gangguan pelik di kawasan rumah mereka. Juga berlaku gangguan dibeberapa rumah anak-anak yang lain. Ini memang sudah diduga sebelumnya.

Begitulah usaha iblis dan syaitan mengganggu gugat dengan pelbagai cara yang boleh bagi merosakkan manusia. Rentetan dari pelbagai perkara aneh yang berlaku maka terjadilah ketegangan diantara keluarga. Sebuah keluarga yang nyata bahagia dan penuh dengan persefahaman, sekali lagi berlaga. Kerana itulah manusia wajib sentiasa memohon dan beramal bagi dilindungi dari segala bentuk gangguan iblis dan syaitan serta kuncu-kuncunya.

Segala bentuk gangguan itu wajiblah dilihat dan diatasi dengan kaedah yang digariskan Al-Quran dan Sunnah melalui asuhan para 'ulama soleh. Segala gangguan tersebut sebenarnya telah disalah ertikan. Timbul fitnah, perselisihan faham dan pelbagai masalah darinya.

Setelah diajak semuanya agar kembali beramal soleh dan disatukan hati mereka dengan amalan soleh maka telah berjaya pula mereka mengatasi gangguan tersebut. Segala-galanya dengan izin dan rahmat Allah Ta'ala.

Mohon maaf kepada para pembaca budiman kerana tidak saya coretkan kisah ini dengan terperinci. Ini bagi menjaga adab saya kepada ilmu, guru dan juga mereka yang terlibat.

Wednesday, December 23, 2009

Gangguan Saka (Kejinan) Keturunan (Bahagian Pertama)

بِسْمِ اللهِ مَا شَاءَ اللهُ وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ

Sebuah keluarga bahagia dengan ibubapa yang penyayang menjalani kehidupan bersama selama berpuluh-puluh tahun. Anak-anak mereka semuanya telah menempa kejayaan dalam hidup mereka. Dengan rezeki yang berlimpah-ruah anugerah Allah Ta'ala dan anak-anak yang taat dan berjaya, semuanya indah belaka. Tambahan pula kedua ibubapa yang kini telah lanjut usia sememangnya sepasang insan yang taat menjalani kehidupan sebagai hamba Allah (SWT). Suaminya berkewibawaan dengan keagamaan yang bagus dan isterinya pula taat serta patuh kepada suami.

50 tahun telah dihabiskan bersama. Mempunyai anak-anak yang ramai dan kesemuanya merupakan anak-anak yang taat dan berjaya. Namun setelah berpuluh tahun mengecapi bahagia, keluarga ini akhirnya menghadapi kehancuran. Kehancuran akibat dari kerja musuh-musuh Allah (SWT) yang ghaib, yang tidak nampak dek mata kasar. Datangnya bala tersebut tidak diduga dan tidak sama sekali terlintas dibenak fikiran mereka.

Perkara pertama yang berlaku ialah siibu yang sudah dicintai suami kerana ketaatannya dan dikasihi anak-anak kerana keibuannya telah menjadi seperti mayat hidup. Dengan tekanan darahnya yang cuma 55/45 sahaja, tidak begitu berselera makan dan minum selama lebih sebulan tetapi badan kekal berisi dan gemuk, melaga-lagakan dan mengapi-apikan perbalahan dikalangan anak dan menantu. Pelbagai perilaku yang pelik dan merosakkan dibawa oleh siibu yang hakikatnya bukan lagi diri beliau yang sebenar.

Dalam pada keadaam kesihatan yang menunjukkan tanda-tanda amat sakit atau tidak sihat, siibu mash lagi terdaya untuk berjalan kesana-sini untuk menjaja fitnah. Sehinggalah satu tahap beliau tidak lagi mampu bergerak seperti biasa dan tidak juga mahu mengenakan sebarang pakaian. Anak-anak dan menantu serta cucu beliau telah hilang upaya dan ikhtiar untuk menangani masalah yang telah berlarutan untuk suatu tempoh yang agak panjang ini. Walau pun mereka semua berpendidikan tinggi namun mereka tiada ilmu, bimbingan dan pengalaman dalam menangani perkara sebegini.

Apa yang amat menyeramkan mereka ialah apabila siibu yang sudah tidak seperti biasa tadi terlalu kerap merayu agar salah seorang dari mana-mana anak perempuan beliau mewarisi sesuatu dari beliau. "Ambillah.... kesian mak.... ambillah nak...." bisik siibu ke telinga anak-anak perempuan yang datang menghampiri beliau. Sambil beliau meminta agar mencium beliau di bahagian mulut untuk "mengambil" sesuatu itu. Anak-anak, menantu-menantu serta cucu-cucu beliau yang terlalu kasih, cinta dan sayangkan beliau menjadi takut dan bingung.

Setelah diikhtiarkan pelbagai usaha di bermacam-macam tempat, dengan rahmat Allah Ta'ala, pada suatu malam yang tenang, siibu telah pergi dengan aman dan senyuman. Dengan ikhtiar terakhir dari kehambaan sebenar kepada Allah 'Azza wa Jalla, selang cuma beberapa jam, siibu telah pergi dengan aman dan tenteram. Siibu diberi minum air yang telah didoakan dan dimandikan dengan campuran beberapa ramuan mudah pada selepas solah Asar di waktu siang pada hari tersebut. Apa yang paling penting ialah, seluruh ahli keluarga telah berjemaah bermunajat pada Allah (SWT) dengan ilmu dan bimbingan dari orang pilihan Allah Ta'ala.

.......................bersambung.............inshaAllah.

Monday, December 21, 2009

Punca Masalah

اَللّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ وَبِكَلِمَاتِكَ تَامَّةِ مِنَ الرِّيْحِ اْلأَحْمَر وَمِنَ الدَّاءِ اْلأَكْبَر

Malang sekali sekiranya kita tidak meneliti dengan lebih mendalam tentang dari mana punca sesuatu masalah yang melanda. Ada keadaan yang mana telah diikhtiarkan dengan pelbagai usaha namun masih tidak dapat jalan penyelesaiannya. Persoalannya ialah kenapa ianya masih tidak selesai? Adakah punca masalah tersebut sudah dikenalpasti dan diatasi?

Begitu juga dengan perkara-perkara gangguan yang terjadi pada sesetengah dari mereka yang datang berikhtiar mengharap rahmat kesembuhan dari Allah Ta'ala. Namun dalam beberapa kes punca masalahnya rasanya telah dikenalpasti oleh semua. Tetapi masih tidak diendahkan kewajipan bagi melaksanakan usaha menghapuskan terus puncanya.

Apabila ditilik dengan teliti, maka dapatlah dilihat dengan jelas bahawa kelemahan iman yang menjadi puncanya. Sudah tentu diri akan diganggu dengan pelbagai gangguan iblis, jin dan syaitan serta kuncu-kuncunya jika tiada amalan keimanan yang menjadi benteng pertahanan bagi menghadapinya. Itulah hebatnya amalan kehambaan yang menjana iman.

الله أكبر الله أكبر الله أكبر وَلاَ حَوْلاَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ باللهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيْم

Saturday, December 19, 2009

Zikir & Hizib

Hizb atau hizib itu memberi maksud satu kumpulan atau satu golongan bagi sesuatu. Dalam perbincangan ini ianya merujuk kepada satu kumpulan ayat-ayat Quran atau sebutan-sebutan yang membawa kepada mengingati dan memuji Allah (SWT), berselawat kepada Nabi (SAW) serta juga bagi tujuan berdoa.
Apa yang pasti ialah hizb ini bermatlamat agar dapat merealisasikan zikir dalam semua keadaan. Terdapat pelbagai hizb yang dibuat oleh para ‘ulama terdahulu dengan tujuan agar dapat kita semua mengingati Allah (SWT).

Kita digalakkan berzikir dalam bentuk yang bertepatan dengan Quran & Sunnah dengan ilmu dan bimbingan yang tepat dalam semua keadaan selagi mana ianya bukan dalam maksiat. Quran menyebut tentang orang beriman yang sentiasa dalam keadaan tetap berzikir walau pun dengan hanya melihat pada ciptaan Allah (SWT). Bukan sekadar zikir sebutan malahan zikir yang lebih dari itu.

Dalam adab kehidupan Muslim juga terdapat perintah menyebut pelbagai doa, selawat dan pelbagai bentuk zikir yang lain apabila melakukan perbuatan seharian seperti makan, minum, berjalan, bersalaman dan sebagainya. Begitulah besarnya peranan zikir dalam setiap inci kehidupan. Dalam Surah An-Nisa’ ayat 103 dan Surah Aali Imran ayat 191 ada menyebut tentang keadaan orang beriman yang akan sentiasa berzikir.

Boleh jika kita ingin berzikir sewaktu bersilat asalkan keadaannya tidak bercanggah dengan syariat. Tiada salahnya kita mengingati Allah (SWT), berselawat kepada Nabi (SAW) dan berdoa dalam keadaan ini. Namun begitu patutlah kita renung dan insafi akan niat dan tujuan kita melakukan apa jua amalan zikir tersebut. Zikir sepatutnya menyuntik ruh taqwa, memberikan semangat kesabaran, meningkatkan kekuatan iman, melahirkan sifat kehambaan dan tawakkal yang tinggi kepada Allah (SWT).

Zikir juga menyuntik ketenangan dalam hati orang yang beriman. Dari zikir itu maka lahirlah sifat yang hanya takut dan taat kepada Allah (SWT) semata-mata. Zikir juga memberikan rasa kehambaan pada diri dan yang wujud hanyalah kehebatan dan kebesaran Allah (SWT). Hati orang beriman itu tidak akan dilalaikan dari berzikir oleh apa juga perkara dan apa juga keadaan. Lidah, hati dan perlakuan zahir dan batin mereka semuanya melambangkan zikir kerana lidah basah dengan menyebut zikir, hati tetap tumpu pada zikir dan perbuatan zahir dan batin bertepatan dengan perintah Allah (SWT).

Itulah sepatutnya natijah dari kebiasaan berzikir yang dilakukan oleh orang beriman dalam setiap masa dan keadaan. Memang tiada salahnya memohon petunjuk dariNya dalam segala keadaan. Dalam pada itu perlaksanaan kerja zahir dan jasmani itu wajiblah didasari dengan ilmu dan bimbingan syariat. Namun terlebih baik dari yang paling baik kita memohon iman, taqwa dan petunjuk bagi menjadi hamba Allah (SWT) yang sebenar-benar hamba apabila kita berzikir dan berdoa.

Zikir juga dapat memberikan kemuliaan dan kewibawaan dunia dan akhirat, memudahkan syafaat dihari akhirat, memperbaharui iman, memberatkan timbangan amal dan pelbagai lagi natijah zikir yang sudah tentu terlalu jauh lebih hebat dari sekadar untuk mendapatkan ilmu silat atau apa-apa kehebatan dunia. Namun begitu adakalanya kita amat memerlukan kepada penyelesaiaan permasalahan dunia kita dan sememangnya kepada Allah (SWT) kita memohon pertolongan. Biar apa sekali pun wajiblah segalanya dibatasi ilmu dan bimbingan dari ‘alim ‘ulama sebenar.

Memang terdapat banyak amalan zikir dan hizb yang baik untuk kita amalkan. Dalam banyak hadis Nabi (SAW) terdapat beberapa doa dan zikir yang baginda amalkan bagi keadaan peperangan, darurat dan sebagainya. Terdapat juga amalan doa dan zikir yang berbentuk perlindungan dari pelbagai perkara atau disebut sebagai pendinding. Terdapat juga pelbagai amalan zikir dan doa dari para ‘ulama terdahulu yang bersumberkan dari Quran dan Hadis yang boleh juga kita semua amalkan.

Sememangnya pelbagai amalan ini mempunyai pelbagai kelebihan dan boleh pula dimanfaatkan untuk pelbagai perkara. Namun begitu biarlah tujuan utama ianya dipelajari, dihayati dan pengamalannya adalah bagi menyatakan kehambaan sebenar kepada Allah (SWT) kerana itulah tujuan kita diciptakan iaitu bagi menyembah mengabdikan diri dengan penuh kehambaan kepada Allah (SWT) dalam setiap masa dan keadaan.

Thursday, December 17, 2009

Hijrah

Hijrah berasal dari perkataan hajara bermaksud tinggalkan atau berpindah dari sesuatu atau tempat kepada yang lain. Hijrah bermaksud keluar atau pindah dengan amat bersegera (Al-Marbawi). Hijrah boleh juga diertikan sebagai berpindah keluar dari keengkaran kepada ketaatan.

Hijrah Rasulullah SAW berlaku secara amat rapi dan tersusun. Terlalu banyak yang dapat dipelajari daripada peristiwa hebat ini. Allah SWT mampu sekiranya dikehendakiNya menghantar Rasulullah ke Madinah dengan jalan yang mudah, selesa dan selamat sepertimana peristiwa Isra’ Mi’raj sebagai contoh. Iradah Allah tidak begitu, hijrah dipenuhi peristiwa mendebarkan. Nabi mendapat jaminan perlindungan Allah, tetapi diperintahkan menempuhi perjalanan yang payah.

Terpaksa melepasi buruan kaum kafir Quraish yang mahu membunuh Baginda. Perancangan kaum kafir amat rapi namun perancangan hijrah Nabi ilham dari Allah jauh lebih rapi dan tersusun. Rasulullah setiap saat meyakini bahawa Allah sentiasa melindunginya. Namun Baginda tetap melaksanakan kewajipan ikhtiar dalam menjayakan hijrah dengan sebaik-baiknya. Hijrah bukanlah peristiwa yang terjadi secara mengejut atau kebetulan dalam kehidupan Rasulullah SAW.

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالَّذِينَ آوَوْا وَنَصَرُوا أُولَئِكَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ وَالَّذِينَ آمَنُوا وَلَمْ يُهَاجِرُوا مَا لَكُمْ مِنْ وَلايَتِهِمْ مِنْ شَيْءٍ حَتَّى يُهَاجِرُوا وَإِنِ اسْتَنْصَرُوكُمْ فِي الدِّينِ فَعَلَيْكُمُ النَّصْرُ إِلا عَلَى قَوْمٍ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ مِيثَاقٌ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah, dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), mereka semuanya menjadi penyokong dan pembela antara satu dengan yang lain. dan orang-orang yang beriman yang belum berhijrah, maka kamu tidak bertanggungjawab sedikitpun untuk membela mereka sehingga mereka berhijrah. dan jika mereka meminta pertolongan kepada kamu dalam perkara (menentang musuh untuk membela) ugama, maka wajiblah kamu menolongnya, kecuali terhadap kaum yang ada perjanjian setia di antara kamu dengan mereka. dan (ingatlah) Allah Maha Melihat akan apa yang kamu lakukan.
(Al-Anfal: 72)

Perpindahan atau hijrah dalam Islam bukan hanya terbatas pada perpindahan tempat. Hijrah akhlak daripada yang buruk kepada yang baik, hijrah daripada yang tercela kepada yang terpuji merupakan perpindahan yang utama. Begitulah yang telah dinyatakan dalam maksud hadis ini.

عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ عُمَرَ رَضِىَ اللهُ عَنْهُمَا قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَفْضَلُ الْمُهَاجِرِيْنَ مَنْ هَهَجَر مَـا نَهَى اللهُ تَعَـالَى عَنْهُ
"Dari Abdullah Bin ‘Umar (ra) katanya: Telah bersabda Rasulullah saw: "Sebaik-baik orang yang berhijrah adalah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah SWT."
(Riwayat At-Tabrani)

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلا تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنْتُمْ عَلَى شَفَا حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ فَأَنْقَذَكُمْ مِنْهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ
"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya." (Ali ‘Imran: 103)

Ini diantara peristiwa dari hijrah yang amat penting dalam mewarnai ketamadunan manusia. Dimana Islam telah terbukti menyelamatkan dan memuliakan sebuah masyarakat dan negara. Dari pengorbanan kamu Ansar kepada kaum Muhajirin yang menjadi bersaudara sehidup semati atas dasar Islam hasil dari hijrah. Kaum Ansar melaksanakan hijrah ketaatan manakala kaum Muhajirin melaksanakan hijrah perpindahan tempat dan kehidupan.

عن عمر بن الخطّاب رضي الله عنه قال سمعت رسولَ الله صلى الله عليه وسلم يقول: إنما الأعمال بالنيات وإنما لكلِ أمْرِئٍ ما نوى فمن كانت هجرته إلى الله ورسوله فهجرته إلى الله ورسوله وان كانت هجرته إلى دنيًا يُصِيْبُهَا أو إلىَ أمْرَأَةٍ ينكحها فهجرته إلى ماها جر إليه
"Dari Umar bin Al-Khattab RA telah berkata, aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya setiap amalan bergantung kepada apa yang diniatkan. Sesungguhya bagi setiap urusan adalah atas (ganjaran) bagi apa yang diniatkannya. Barangsiapa hijrahnya untuk Allah & RasulNya maka hijrahnya untuk Allah & RasulNya. Barang siapa hijrahnya untuk dunia yang dihajatinya atau perempuan yang ingin dinikahinya, maka (ganjaran) hijrahnya pada apa yang diniatkan.”

Hadis ini diriwayatkan oleh seorang yang telah berhijrah seluruh kehidupan beliau dari dipenuhi kebencian, dendam, dosa, maksiat dan permusuhan terhadap Islam kepada keimanan sejati. Beliau telah berpindah dari keengkaran kepada ketaatan sebenar, bertukar sepenuhnya. Selepas penghijrahan seluruh hidup beliau adalah untuk Islam. Hijrah Umar RA adalah perkara ajaib yang luar biasa yang wajib dicontohi.

Terlalu banyak pengajaran yang dapat direnung dalam peristiwa hijrah. Antaranya secara ringkas:
  1. Perancangan dan perlaksanaan rapi penting dalam semua urusan agama.
  2. Dijayakan semua dari golongan kaya, miskin, hamba, tua, muda, ahli keluarga yang sepakat, bantuan pihak luar termasuk dari seorang kafir dan pelbagai pengorbanan masa dan harta tanpa berkira-kira demi agama Allah.
  3. Persediaan dan pengorbanan yang pelbagai; ilmu, harta, diri dan masa.
  4. Penekanan kepada pengkhususan bidang, fungsi, ilmu dan kepakaran masing-masing.
  5. Kerjasama erat dan sistematik walau dengan yang bukan Islam asalkan boleh dipercayai.
  6. Pengisian kekuatan material, fizikal dan mental yang bersepadu dari semua pihak.
  7. Paling utama adalah kehambaan serta iman dan taqwa yang mutlak.