Wednesday, October 7, 2009

Kebersihan Dan Kesucian

Sifat suci dan bersih penting dalam Islam dan menjadi intipati dalam kehidupan seorang Islam. Kebersihan dan kesucian mencakupi kehidupan seharian seorang Islam hinggalah dalam melakukan ibadah. Ianya disebut secara jelas di dalam beberapa ayat Al-Quran dan hadis Nabi Muhammad (SAW). Didalam Surah Al-Baqarah ayat 222 Allah (SWT) berfirman:
إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ
Maksudnya:
“…..Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaubat dan Dia mengasihi orang-orang yang menyucikan (membersihkan) diri”

Kebersihan dan kesucian itu hakikatnya adalah kecenderungan semulajadi manusia dan Islam mendukung fitrah atau kecenderungan sebegini. Semua manusia sukakan perkara yang bersih dan suci serta yang berkaitan dengannya. Hinggakan binatang ada sifat semulajadi yang menjurus kepada kebersihan maka manusia wajiblah jauh lebih bersih dan suci.

Kebersihan dan kesucian fizikal dan mental, dalaman dan luaran merupakan lumrah dalam semua aspek kehidupan sebagai seorang Islam. Terdapat amalan fizikal yang sememangnya bertujuan membersihkan diri seperti wudhu atau mengambil air sembahyang, mandi, membersihkan najis dan sebagainya didalam pendidikan Islam atau fiqh yang wajib diamalkan dalam kehidupan seharian seorang Muslim.

Malahan semua amalan yang bukan berbentuk membersihkan diri juga disyaratkan agar membersihkan diri dengan pelbagai cara terlebih dahulu sebelum melakukannya. Sebagai contoh kita wajib mengambil wudhu sebelum bersolah. Tanpa wudhu maka solah itu tidak sah dan tidak akan diterima, Begitulah pentingnya kebersihan dan kesucian.

Nabi Muhammad (SAW) menyatakan didalam hadis baginda riwayat dari Imam Muslim tentang kebersihan:
اَلطُّهُوْرُ شَطْرُ اْلإِيْمَانِ
Maksudnya:
“Bersuci itu adalah ciri keimanan”

Hinggakan perintah untuk mandi sekadar membersihkan badan pun disebutkan oleh Nabi Muhammad (SAW) didalam hadis riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim. Hadis tersebut menyifatkan mandi sebegini sebagai kewajipan seorang Islam yang wajib ditunaikan terhadap Allah (SWT). Kewajipan yang nampak biasa sahaja namun boleh jadi sesuatu yang wajib untuk dilaksanakan.

Terdapat beberapa hadis Nabi Muhammad (SAW) yang menyatakan perkara-perkara lain tentang kebersihan diri seperti memotong kuku, bersugi atau memberus gigi dan memperkemaskan diri. Ini menggambarkan betapa besarnya peranan kebersihan dari tahap yang paling asas seperti bersuci dan menjaga kebersihan hinggalah kepada yang lebih terperinci seperti menonjolkan kebersihan dan kekemasan diri.

Dalam Surah Al-Muddaththir ayat 4 Allah (SWT) berfirman:
وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ
Maksudnya:
“Dan pakaianmu maka hendaklah kamu bersihkan”

Disini Allah (SWT) berfirman tentang membersihkan pakaian atau membasuh pakaian. Membasuh dan membersihkan baju itu merupakan suatu ibadah yang juga terkandung perintah Allah (SWT). Al-Quran juga menyebut tentang perkara kebersihan dengan dikaitkan dalam pelbagai perkara. Disini jelas menunjukkan Islam terlalu mementingkan kebersihan dari pelbagai aspek.

Nabi Muhammad (SAW) bukan sahaja mengutamakan sifat bersih, suci dan kemas sewaktu beribadah kepada Allah (SWT) malahan ianya ditekankan juga apabila bergaul dikalangan manusia. Baginda (SAW) dan para sahabat (RA) menghidupkan dan mengamalkan kesucian dan kebersihan dalaman dan luaran disegenap aspek kehidupan dan menyukai perkara yang bersih, indah dan wangi.

Amalan kebersihan mendidik diri secara fizikal agar menjadi seorang yang rajin, bertanggungjawab dan fokus. Ini kerana hanya indidvidu yang mempunyai kerajinanan yang mampu menunaikan pelbagai perkara dalam menjaga dan memelihara kebersihan. Sifat bertanggungjawab terhadap diri sendiri, orang lain dan alam sekitar juga jelas didalam diri mereka yang menjaga kebersihan. Secara langsung dan tidak langsung amalan kebersihan membentuk peribadi yang mempunyai sifat-sifat yang terpuji.

Islam menganggap perkara ibadah seperti solah, memohon keampunan dari Allah (SWT), memohon maaf dan sebagainya sebagai satu bentuk amalan kebersihan diri secara mental dan secara dalaman atau rohani. Amalan kebersihan biasa secara fizikal pula akan memberikan kekuatan dalam melakukan ibadah dan amalan kebersihan rohani. Begitukah besarnya peranan kebersihan dan kesucian dari pelbagai aspek.

Sebuah hadis Nabi Muhammad (SAW) riwayat Abu Daud dimana Baginda (SAW) bersabda kepada para sahabatnya berbunyi:
إِنَّكُمْ قَادِمُوْنَ عَلَى إِخْوَانِكُمْ فَأَصْلِحُوْا رِحَالَكُمْ وَأَصْلِحُوْا لِبَاسَكُمْ حَتَّى تَكُوْنُوْا كَأَنَّكُمْ شَامَةٌ فِي النَّاسِ فَإِنَّ اللهَ لاَ يُحِبُّ الْفَحْشَ وَلاَ التَّفَحُّشَ
Maksudnya:
“Kamu akan berjumpa dengan sahabat-sahabat kamu maka perkemaskan peralatan dan pakaian kamu sehingga kamu dikenali dikalangan orang ramai. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada perkataan dan perbuatan yang keji dan keterlaluan”

Seorang Islam itu bukan sahaja bersih malah kemas dan segak hingga mudah dikenali kerananya. Begitulah sewajarnya seorang Islam itu dikenali. Bersih, kemas, rambut dijaga rapi, peralatan seperti pen, dompet, sikat dan sebagainya tersusun. Janganlah berlebihan dalam berpakaian hingga membazir dan mendatangkan sifat menunjuk-nunjuk dan sombong yang mengotorkan sifat dalaman diri. Kebersihan mestilah dijaga secara luaran dan dalaman.

Allah (SWT) menyebut dalam Surah At-Taubah ayat 108 tentang orang-orang dari kalangan penduduk Quba yang suka menjaga kebersihan dan kesucian diri:
فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَنْ يَتَطَهَّرُوا وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُطَّهِّرِينَ
Maksudnya:
“….di dalamnya (Masjid Quba) ada orang-orang lelaki yang sukakan (mengambil berat) kebersihan (kesucian diri) dan Allah menyukai orang-orang yang membersihkan diri mereka”

Dalam hadis riwayat Abu Daud, at-Tirmizi dan Ibnu Majah menerangkan Nabi Muhammad (SAW) bersabda dengan menyatakan bahawa ayat ini turun kerana lelaki-lelaki tersebut suka membersihkan diri mereka dengan air. Begitulah mulia dan tingginya mereka yang menjaga kebersihan sehingga disebut-sebut didalam Al-Quran dan Hadis. Mereka ini menjaga kebersihan jasmani dan kesucian rohani.

Kebersihan merupakan asas kewibawaan atau kemuliaan dan kehormatan. Sifat pengotor akan meruntuhkan kewibawaan malah terdedah kepada penyakit yang melemahkan fizikal dan mental. Tiada insan yang mahu mendekati penyakit atau bersama dengan orang atau apa sahaja yang kotor dan busuk.

Kebersihan dan kesucian yang terlebih elok ialah dengan mengekali wudhu sekadar termampu. Hikmahnya ialah dapat memberikan sifat semulajadi yang baik didalam minda dan diri. Disamping itu mandi bagi tujuan membersih dan menyegarkan diri agar bebas dari penyakit juga penting.

Sebagai orang Islam, kebersihan menjadi kewajipan setiap individu dari masa dilahirkan, semasa menjalani kehidupan hinggalah saat kematian. Besuci dan membersihkan diri diwajibkan dalam pelbagai situasi. Dari saat membuang air besar atau kecil yakni bersuci dari najis, apabila hendak solah yakni kewajipan berwudhu, saat kematian yakni kewajipan memandikan mayat sehingga kepada membersihkan diri dan pakaian dari segala bentuk kotoran yang boleh membawa kepada penyakit sama ada ianya bernajis atau pun tidak.

No comments:

Post a Comment