Thursday, September 17, 2009

Ramadhan & Aidilfitri

Berpuasa merupakan salah satu rukun Islam yang wajib ditunaikan. Rukun Islam yang ketiga ini adalah satu rahmat yang amat besar dari Allah Ta’ala. Ianya suatu bulan yang mendidik taqwa dan syukur kepadaNya. Mereka yang menghayati Ramadhan akan beroleh sebaik-baik perhiasan iaitu Taqwa yang menjadi ukuran kemuliaan sebenar bagi diri manusia. Taqwa merupakan suatu perintah dari Allah (SWT) yang wajib ditunaikan oleh semua yang terlalu amat pentingnya sehinggakan ianya menjadi pesanan utama dalam khutbah pada setiap Jumaat. Taqwalah yang dapat memberikan

Dibulan Ramadhan juga telah diturunkan Mukjizat Agung iaitu Al-Quran yang menjadi rahmat yang amat besar bagi orang-orang beriman. Sayugialah kita semua melihat Ramadhan sebagai Madrasah Taqwa dan Madrasah Al-Quran. Satu bulan yang mendidik taqwa dan bulan yang membawa kita kembali kepada menghayati Al-Quran dalam segenap kehidupan.

Apabila kita kembali kepada taqwa maka akan dianugerahkan jalan keluar dari kesesatan, kegelapan dan kesempitan. Jika tiada taqwa maka dipenuhi pula dengan kehinaan. Apabila kita kembali kepada Al-Quran maka akan diberikan kelapangan dan ketinggian. Jika berpaling dari Al-Quran maka akan sempitlah dan hinalah seluruh kehidupan. Moga Allah ‘Azza wa Jalla melindungi kita dari segala yang dimurkaiNya.

Dibulan yang mulia lagi diberkati ini kita seharusnya menghayati perintah dan petunjuk Allah (SWT). Menghayati pendidikan dari menahan lapar dan dahaga nafsu secara keseluruhan. Bukan sekadar menahan lapar dan dahaga perut sahaja atau menahan makan dan minum semata-mata, bahkan lebih jauh dari itu. Bulan menundukkan nafsu yang membawa kepada kejahatan dan kerosakan.

Bulan Ramadhan merupakan rahmat yang terlalu besar dari Allah Ta’ala bagi membantu menundukkan segala macam godaan nafsu. Dalam pada itu dianugerahkan pula olehNya kegembiraan serta merta sewaktu berbuka dan ada pula kegembiraan yang lebih besar lagi bakal menunggu. Begitulah kasih dan sayang Allah (SWT) kepada hamba-hambaNya.

Setelah berlalunya nanti sebulan yang penuh dengan berusaha mengalahkan hawa nafsu, diperintahkan pula untuk menyambut Aidilfitri. Allah Ta’ala Maha Pengasih lagi Maha Penyayang memerintahkan pula kita bergembira dan memastikan semua yang lain juga bergembira. Betapa Maha Besar Maha Agung Maha Pemurahnya Allah (SWT) kepada semua hambaNya.

Wajiblah kita sentiasa membesarkan Dia (SWT) sewaktu kita menunaikan perintahNya dalam merayakan hari kemenangan menundukkan hawa nafsu. Takbir, tahmid dan tasbih sentiasa dijadikan ucapan dan amalan dalam merayakan hari yang diperintahkan olehNya untuk kita sambut dan bergembira. Kegembiraan yang wajib disertai kesyukuran, ketaatan dan kehambaan sebenar.

Aidilfitri wajiblah disambut dengan penuh kesyukuran kerana beroleh petunjuk Allah (SWT) sambil membesarkanNya dengan amalan kehambaan secara perbuatan, ucapan dan di dalam hati. Itulah cara yang wajib kita laksanakan dalam menyambut hari sempurnanya perlaksanaan rukun Islam yang ketiga. Hari itu disambut kerana telah sempurnanya salah satu perintah kehambaan.

Penuhilah malam raya dengan bertakbir dari lidah, hati dan diri. Hayatilah maksud dan makna membesarkan Allah Ta’ala dengan mengisi malam dengan amalan kehambaan. Berebut-rebutlah untuk bertakbir bersama-sama. Begitu juga di waktu siangnya sebelum menunaikan solah Aifdilfitri. Itulah masa terakhir disunatkan melafazkan takbir membesarkan Ilahi. Beramai-ramai memanjatkan syukur kepadaNya bermula dari malam raya lagi.

Gembirakanlah mereka yang kekurangan hidupnya dengan melaksanakan satu lagi perintah Allah (SWT) iaitu rukun Islam yang keempat yakni menunaikan zakat fitrah. Itulah juga lambang kesyukuran dan kehambaan kita padaNya. Disamping itu zakat fitrah juga membersihkan kecacatan amalan, sekiranya ada. Sampaikan amanah Allah Ta’ala ini kepada mereka yang susah terlebih dahulu kerana ini yang paling utama. Janganlah ambil mudah dalam melaksanakannya.

Wajib kita laksanakan segala perintah Allah (SWT) itu dengan usaha dan dengan sifat kehambaan. Bukan dengan jalan yang paling mudah dan dengan melayan sifat malas. Zakat fitrah merupakan perkara wajib yang boleh dilaksanakan sejak dari awal Ramadhan lagi. Rebutlah redha dan barokah dariNya dengan melaksanakannya dengan sesempurna mungkin.

Dipagi Aidilfitri dianugerahkan pula amalan mandi sunat Aidilfitri. Pakailah wangi-wangian bagi orang lelaki kerana ini adalah amalan kesukaan kekasihNya, Nabi Muhammad (SAW). Baginda juga menyediakan pakaian yang istimewa khusus untuk dipakai bagi merayakan Aidilfitri. Ini sebagai lambang membesarkan Allah ‘Azza wa Jalla dan bagi menyatakan rasa syukur.

Disunatkan agar bersarapan terlebih dahulu sebelum keluar menunaikan solah sunat Aidilfitri. Sekurang-kurangnya dengan sarapan ringan atau lebih elok dengan memakan kurma dengan bilangan yang ganjil seperti yang dilakukan contoh tauladan ikutan kita Rasulullah (SAW). Selepas itu bawalah keluarga beramai-ramai, lelaki dan perempuan untuk keluar bersolah Aidilfitri.

Wanita yang uzur boleh bersama menyaksikan solah Aidilfitri dilaksanakan. Dengan semua keluar beramai-ramai memakmurkan dalam menunaikan dan menyaksikan solah sunat Aidilfitri ini merupakan suatu kesaksian tentang kebaikan yang wujud pada hari itu dan juga suatu syiar dakwah. Bagi wanita yang uzur hendaklah ditempat khusus yang terpisah dari kawasan solah.

Selasai solah maka zahirkanlah kegembiraan antara satu sama lain dan pastikanlah saudara kita yang lain juga dapat bergembira. Kegembiraan itu wajib berlandaskan Syari’at. Kegembiraan yang menyatakan kesyukuran atas nikmat dan petunjuk dariNya. Janganlah diisi Aidilfitri dengan maksiat dan kemurkaan Allah (SWT). Wajiblah kita ingat sekali lagi bahawa merayakan Aidilfitri itu adalah perintah Allah Ta’ala maka wajiblah kita melaksanakan perintahNya seperti yang diajar oleh Nabi Muhammad (SAW).

Doakanlah agar segala amalan kita dan amalan saudara kita yang lain diterima olehNya. Ucapkanlah ucapan “TaqabbalAllahuminna wa minkum” (Moga Allah menerima amalan kami dan amalan kamu) diantara satu sama lain. Amalan ziarah menziarahi, saling bermaaf-maafan dan bersedekah sememangnya boleh kita amalkan pada bila-bila masa bukan sahaja diwaktu hari raya Aidilfitri.

Amalan berziarah, bermaaf-maafan, bersedekah dan semuanya ada tertib dan kaedah yang jelas dalam melaksanakannya. Kaedahnya dijelaskan dalam Al-Quran dan Hadis. Rujuklah pada mereka yang benar-benar faham akan Al-Quran dan Hadis iaitu orang-orang pilihan Allah Ta’ala yang telah diberikan kefahaman sebenar dikalangan para ‘Ulama’ dan Awliya’Nya.

Segala proses yang dilalui semasa dan selepas Ramadhan merupakan suatu usaha bagi memastikan amalan menundukkan nafsu itu berjaya dan diterima oleh Allah ‘Azza wa Jalla. Dari menahan nafsu, melaksanakan solah sunat, menunaikan zakat, membaca Al-Quran, mandi sunat, bergembira dan semuanya adalah usaha memastikan amalan itu sempurna dan diterima.

Laksanakanlah segalanya dengan penuh kehambaan. Janganlah dihina amalan puasa dan berhari raya itu dengan maksiat seperti pembaziran, tamak, hiburan melampaui batas, pergaulan bebas dan perkara lain yang mengundang murka Allah (SWT). Laksanakanlah perintah Allah Ta’ala itu dengan menyempurnakan perintahNya dengan sesempurna mungkin. Ingatlah bahawa bepuasa itu perintahNya dan berhari raya itu juga perintah dariNya.

No comments:

Post a Comment