Thursday, September 3, 2009

Nafsu & Dunia

رَبِّ نَجِّنِي مِنَ النَّفْسِ اْلأَمَّرَةِ بِالسُّوءِ
Allah (SWT) berfirman di dalam Surah Yusuf ayat 53 yang bermaksud:
"…sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
Dengan rahmat Allah (SWT) sahajalah seseorang itu dapat menyelamatkan dirinya dari hawa nafsu yang disokong oleh pelbagai godaan dunia.

Diantara kata-kata Syeikhuna ialah godaan dunia yang paling besar ialah nafsu ke arah perempuan. Orang-orang yang arif akan lari menjauhkan diri daripada keadaan ini.
“Dihiaskan (dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada perkara yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan...." (Aali ‘Imran: 14)

Pembunuhan pertama di dunia iaitu antara Habil dan Qabil kerana seorang wanita.
“Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya (sehingga ia tergamak) membunuh saudaranya, lalu ia membunuhnya. Oleh itu menjadilah dia dari golongan orang-orang yang rugi.” (Al-Maaidah: 30)

Barsisa menjadi kafir kerana seorang wanita dan Bal‘am Ba’ura dilaknat Allah juga kerana perempuan. Jadi, perempuan selalunya menjadi ujian Allah (SWT) ke atas orang-orang arif.

Keadaan yang serupa juga akan berlaku jika orang salik tersebut merupakan seorang wanita. Ujiannya pula sudah tentu ialah nafsu ke arah lelaki. Bagi orang-orang salik, mereka perlu berhati-hati dengan ujian Allah (SWT) ini. Kerana itulah orang-orang salik hendaklah sentiasa berpegang teguh pada Syari’at dan Toriq.

“Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu Syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum ugama; maka turutlah Syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar).” (Al-Jathiyah: 18)

Keagungan Allah
Allah Ta’ala pamerkan keagunganNya apabila manusia boleh mendengar dan melihat, tetapi si salik tidak kenal sifat Allah (SWT) selalu menyangka bahawa segala kebolehan ini datangnya dari diri dia sendiri. Pengertian ini membawa kepada Ujud. Sebenarnya manusia tidak ada apa-apa. Semua yang ada pada dirinya adalah hak mutlak Allah (SWT) belaka.

“…..(Allah) Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi….” (Al-Baqarah: 255)

Hijab yang berlaku pada diri salik adalah atas perbuatannya sendiri. Untuk mengenal Allah (SWT), kita perlu mengenal diri; mengetahui, mamahami dan mengamalkan kehambaan. Musuh yang paling ketat ialah tidak mengenal diri (tiada sifat hamba kepada Allah Ta’ala sebagai Penciptanya).

Bimbingan Allah
Sesiapa yang Allah bimbing ke jalan yang lurus, tiada sesiapa pun yang boleh menyesatkannya.
“Dan sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah (dengan sebab pilihannya yang benar), maka tidak ada sesiapapun yang dapat menyesatkannya.” (Az_Zumar: 37)

Sesiapa yang Allah bimbing, dia tidak akan sesat kerana dia sentiasa mendapat rahmat Allah. Sesiapa yang Allah sesatkan, tiada yang dapat membetulkannya dan dia akan mengikut hawa nafsu ke arah dosa dan maksiat sehingga matinya dalam keadaan dosa dan maksiat. Jadi bertaubatlah kita kepada Allah Ta’ala kerana Dia TUHAN.
أَسْتَغْفِرُ اللهَ رَبَّ الْبَرَايَا أَسْتَغْفِرُ اللهَ مِنَ الْخَطَايَا

No comments:

Post a Comment