Wednesday, September 2, 2009

Ilmu & Dakwah

Maksud firman Allah (SWT) dalam Surah Aali 'Imran ayat 104:
"Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya."

Kerana itulah 'ulama yang sebenar-benar 'ulama menjalankan amanah yang diberikan kepada mereka seperti yang Allah (SWT) firmankan dalam ayat di atas. Mereka mengadakan majlis ilmu atau kuliah agama dan pelbagai lagi bentuk majlis agama. Ada lagi pelbagai bentuk usaha yang Syar'ie yang dilakukan para 'ulama dalam mencegah kemungkaran. Itulah maksud hidup 'ulama sebenar. Bukan pula jenis yang kita gelar ustaz yang macam-macam ada ini.

Malangnya orang awam kerap tersilap melihat mereka yang bukan golongan 'ulama tetapi dianggap orang 'alim atau ustaz. Bertimbun yang kita dapat lihat sebegini. Ada yang mengaku 'alim tetapi bukan ahli agama. Ada pula yang menganggap golongan jahil dan bukan 'alim sebagai 'ulama tetapi melihat golongan yang benar-benar 'ulama atau ahli agama sebagai tak betul dan tak kena. Golongan 'ulama sebenar ini adalah terdiri dari mereka yang pada hakikatnya adalah pilihan dari Allah (SWT).

Dalam sebuah Hadis dari riwayat Imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah tidaklah mencabut ilmu dengan menariknya daripada dada hamba-hambaNya, tetapi Dia mencabut ilmu dengan mematikan ulama’ sehingga jika tidak ada lagi seorang ‘alim pun maka manusia akan mengangkat juhalaa’ (orang-orang jahil) sebagai pemimpin mereka. Lalu (jika) mereka ditanya, maka merekapun memberi fatwa tanpa ilmu, (akhirnya) mereka sesat dan menyesatkan orang lain."

Golongan 'ulama sebenar telah dianugerahkan Allah (SWT) kebaikan yang sebenar iaitu kefahaman dalam (ad-din) agama, faham yang sebenar-benarnya. Ramai diantara mereka kini melaksanakan tanggungjawab dengan melangkaui batas tradisi dan terjun ke alam siber atau internet bagi memastikan dakwah dan ilmu Islam itu sampai ke setiap media yang wujud dalam dunia yang serba canggih ini. Apa yang mereka lakukan bukanlah sesuatu yang sia-sia malahan adalah suatu kewajipan dalam melaksanakan dakwah.

Firman Allah (SWT) yang bermaksud:
"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)." (Surah Aali 'Imaran: 110)
Disini ditekankan lagi betapa perlunya usaha melakukan usaha menyampaikan dakwah, sama ada ianya dakwah Islamiyyah mahu pun Islahiyyah. Dilaksanakan segalanya dengan tertib ilmu dan kefahaman para 'ulama sebenar.

Manakala ayat yang sebelumnya dari ayat 104 Surah Aali 'Imran pula mengandungi penekanan terhadap jalan berdakwah yang harus dilaksanakan bersesuaian kehendak zaman tetapi masih utuh bepegang kepada Quran dan Hadis. Ayat ini bukan sahaja menggambarkan amanah menyeru manusia itu dengan jalan tradisional tetapi juga hendaklah menggunakan segala bentuk atau jalan lain yang perlu.

Kefahaman sebenar itu hanya dapat kepada mereka yang Allah (SWT) pilih sahaja. Bagi yang sanggup mengaku kejahilan dan kelemahan diri serta mahu dipimpin dan dibimbing, dengan rahmat Allah (SWT) diberikanNya kefahaman. Namun amanah ilmu dan dakwah itu tetap wajib dilaksanakan bagi mereka yang telah diamanahkan. Selaku saya orang awam yang lemah dan jahil ini, tiada apa yang saya harapkan melainkan ilmu, kefahaman dan bimbingan dari para 'ulama, guru dan Syeikh saya agar beroleh redha Allah (SWT) sentiasa.

يَا إِلَهَنَا إِلَهًا وَاحِدًا لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ ، رَبَّنَا أَتْمِمْ لَنَا نُورَنَا وَ أغْفِرْلَنَا إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَىءٍ قَدِيرٌ

No comments:

Post a Comment