Wednesday, September 2, 2009

Jilbab Atau Bala

يَا قَهَّارُ يَا جَبَّارُ يَا بَدِيعَ السَّمَوَاتِ وَ الأَرْضِ يَا فَعَّالاً لِمَا يُريدُ أَفْرِغْ عَلَينَا صَبْرًا وَ ثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَ انْصُرْنَا عَلَى القَومِ الكَافِرِينَ
Hadis Nabi Muhammad (saw) ada menceritakan bagaimana seorang lelaki telah datang menemui Rasullullah dan berkata; “Sesungguhnya aku kasih kepada engkau semata-mata kerana Allah.” Jawab Rasullullah kepada lelaki itu; “Ambil olehmu bala dan fakir itu sebagai jilbab (pakaian kita), kerana engkau berkehendakan sifat-sifatku dan sesiapa mengambil bala itu sebagai jilbab, aku kasih kepadanya, kerana syarat untuk mendapat kasihku mestilah muafakat denganku.”

Rasullullah sendiri dibangkitkan dalam keadaan fakir miskin dan yatim piatu. Inilah suatu karamah (kemuliaan/keistimewaan/kelebihan) yang amat besar. Menurut guru kami, ianya merupakan suatu ciri mukjizah yang amat tinggi yang apabila dikaji, mashaAllah.......

Bala adalah ujian Tuhan. Sabar ertinya mempertahankan perasaan nafsu kita dalam bertindak di atas apa yang dikenakan pada kita. Sebaliknya, jika kita bertindak ganas dan tak senang dan ikut hawa nafsu Ammarah itu bererti kita tidak sabar. Sesiapa yang inginkan kasih Rasullullah, hendaklah ia bersabar akan bala itu, itulah ingatan dari Syeikh kami.

Muafakat

Contoh lain yang dinyatakan oleh Fakhruna ialah Saidina Abu Bakar (ra), beliau membelanjakan semua hartanya pada Rasullullah kerana beliau yakin akan Rasullullah. Beliau muafakat zahir dan batin kepada Rasullullah. Kita juga kena mengambil contoh sikap Abu Bakar ini untuk mendapat sir. Beliau sabar dan tabah dengan segala apa yang dikurniakan oleh Allah (swt) dalam mengikuti Rasulullah (saw).

Menurut yang dikasihi Syeikhuna wa Sanadina lagi, kebanyakan kita mengasihi Rasullullah tetapi itu semuanya bohong belaka. Kita tidak pernah betul hati (jujur) dengan orang soleh. Kita sembunyikan harta kita daripada kekasihNya. Buat yang dilarang, kerana apabila bercakap memang mudah tetapi untuk melaksanakannya memang payah. Orang Allah kena kasih fakir dan kasih kepada orang-orang fakir.

Jiwa kita kena betul. Permulaan perjalanan Ahlullah, jiwa mereka mestilah jiwa malaikat. Kebanyakan kita ingin menjadi seperti malaikat tetapi jiwanya seperti manusia. Orang Ahlullah menjaga hukum hakam Tuhan dan hati mereka itu terkawal dari penyakit-penyakit hati. Jika kita ingin memiliki hati seperti malaikat kita mestilah mentahkikkan (membenarkan) Islam. Tinggalkan dosa yang nyata dan dosa yang batin.

Zuhud

Kita mestilah menjadi wara’ dan zuhud untuk memiliki hati seperti malaikat. Ambil ala kadarnya sahaja daripada dunia ini dan kita mestilah menghayati makrifah. Kita kena zuhud pada qolbi kita kerana berdamping dengannya membuatkan kita dekat dengan Tuhan. Apabila Tuhan sayang kepada kita, pintu kasih sayang serta rahmatnya akan terbuka.

Pada permulaan perjalanan Ahlullah itu, Tuhan akan menggenggam dunianya. Jika kita masih mengambil dunia itu, kita tidak akan dapat memasuki perjalanan Ahlullah. Ini adalah aturcara yang telah Tuhan anugerahkan kepada para AwliyaNya. Jika kita tidak mahu mengikut syarat aturcara ini bererti kita seorang pembohong. Inilah yang dinamakan perjalanan. Untuk kita mendapat kasih Rasullullah; “Ambil olehmu bala dan fakir itu sebagai jilbab (pakaian kita)...”

Jika kita tidak dapat melakukan ini semua, jangan harap kita akan menjadi orang soleh sebagaimana kata-kata sindiran guru kami kepada murid-muridnya iaitu; “Kamu, harap-harap nak jadi orang soleh, tetapi perangainya toleh. Harap-harap nak jadi orang berjaya, tapi tak ikut saluran orang yang berjaya.”

Menurut beliau lagi, di dalam dunia ini ada 2 jenis manusia iaitu:
1. Manusia soleh menjadi pengikut Rasullullah, para Anbiya dan para Awliya Allah.
2. Manusia hipokrit yang mengambil contoh daripada syaitan dan iblis.
Terpulanglah pada kita untuk menjadi pengikut bagi golongan pertama atau kedua. Untuk menjadi pengikut pertama bersungguh-sungguhlah kita pada Allah (swt).
ٱللهم صلى على سيدنا محمد عبدك ورسولك ٱلنبي ٱلأمي وعلى اله وصحبه وسلم

No comments:

Post a Comment