Sunday, September 13, 2009

Jangan Putus Amal, Ilmu & Guru

Islam merupakan cara hidup yang mencakupi segala dan semua perkara dari hidup hingga matinya individu. Segala perkara telah digariskan pelbagai panduan dari Allah (SWT) mengikut cara yang disampaikan Nabi Muhammad (SAW). Islam merupakan suatu cara hidup yang menjadikan ilmu sebagai salah satu keutamaan. Wajib segalanya memerlukan ilmu dan semuanya mestilah disertakan tertib. Dalam hal ini, kita merujuk kepada tertib dalam kita memilih jalan yang bertepatan untuk mempelajari apa sahaja ilmu sekalipun. Jangan sampai kerana terlalu inginkan kehebatan sesuatu ilmu sehingga mengenepikan ketetapan hukum Islam dengan tidak menghiraukan suruhan atau larangan Allah ‘Azza wa Jalla. Peraturan dalam menuntut apa sahaja ilmu itu penting tetapi ketetapan Allah (SWT) itu lebih penting mengatasi segala-galanya.

Untuk mendapat kefahaman ilmu yang tinggi, kita tidak boleh berhenti daripada usaha memperolehi ilmu sama ada secara formal atau tidak. Jangan putus ilmu bererti kita tidak berhenti daripada mempelajari sesuatu ilmu dengan sempurna dan belajar daripada ilmu tersebut. Sikap mempelajari ilmu memang agak mudah untuk dipraktikkan. Cari guru dan belajar dari beliau sehingga sempurna ilmu yang disampaikan. Itupun generasi sekarang kerap tidak mampu belajar sesuatu ilmu itu sehingga sempurna. Prosesnya tergantung terus. Belum pun sempat dihabiskan keseluruhan pelajaran sudah terhenti separuh jalan. Cuma dapat sedikit manfaat dari ilmu yang diperolehi atau langsung tiada.

Apa yang lebih mendukacitakan apabila sumber atau cara sesuatu ilmu itu diperolehi tidak lagi dihiraukan. Ilmu tersebut dicedok atau diciplak terus dari buku, internet atau sumber lain yang bukan datangnya dari seorang yang bergelar guru. Dengan kata lain, mempelajari ilmu tanpa guru atau tanpa proses pendidikan yang sebenar. Peranan para guru atau para ilmuwan diketepikan. Para 'ulama' tidak diendahkan dalam memperolehi ilmu Islam. Disinilah antara punca kehancuran dan perpecahan dikalangan umat Islam. Proses menuntut ilmu tidak lagi dapat disempurnakan dengan adab dan tertib yang sepatutnya. Apatah lagi untuk belajar daripada ilmu yang dipelajari. Nampaknya ini lebih sukar untuk diamalkan oleh generasi kini. Maksud belajar daripada ilmu yang dipelajari pun sudah tidak lagi ingin difahami. Ilmu yang dihayati akan menghasilkan kefahaman yang tinggi. Di sini berlaku percambahan ilmu tersebut dalam minda. Ilmu itu seolah-olah menjadi biji benih yang disemai di dalam diri.

Percambahan ini mesti dibantu dengan amalan atau latihan yang konsisten. Ilmu yang dipelajari bukan sekadar untuk kegunaan dalam masa sebenar tetapi juga sebagai amalan diri. Ini dapat meningkatkan kefahaman, kemahiran dan disiplin. Itulah hasil dari amalan. Amalan istiqomah, berkekalan atau konsisten mendapat barokah serta akan wujud keikhlasan terhadap ilmu yang dikuasai. Guru menjadi penyebab bagi sumber ilmu yang diperolehi. Guru selama-lamanya akan menjadi guru bagi pelajarnya. Dengan menjalinkan silaturrohim berterusan dengan guru, akan memberi lebih keberkatan ilmu. Kefahaman juga akan meningkat apabila jalinan ini mewujudkan perbincangan demi perbincangan.

Dalam pada itu, guru yang boleh memimpin ke arah jalan yang diredhoi Allah seperti para ‘ulama’ mestilah sentiasa didampingi, ini yang lebih utama. Sikap hormat terhadap semua para penyampai ilmu atau guru terutamanya dikalangan para ‘ulama’ bakal membuahkan pengalaman yang amat indah dan menarik. Bayangkan apabila diri disenangi dan sentiasa disisi gedung ilmu yang hidup dan bergerak.

Kesinambungan ilmu, amal dan guru ini haruslah sentiasa dijaga. Hakikatnya semua kejadian di atas dunia yang fana ini memberikan kita satu gambaran betapa Maha Besar Allah (SWT). Banyak iktibar pengajaran yang dapat kita ambil dalam segenap kehidupan ini. Apa yang penting, pandanglah dengan sifat taqwa yakni takutkan Allah (SWT) dengan mentaati segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya, tawadhu atau rendah diri dan penuh penumpuan pada Allah (SWT). Sentiasalah kita dibimbing dan dipimpin oleh ilmu dan kefahaman orang-orang pilihan Allah Ta’ala.

No comments:

Post a Comment