Friday, August 28, 2009

Penglihatan Hamba

لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّى كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ

Dunia ini tidak akan sama sekali melepaskan kita. Ikatan keduniaan sentiasa akan bertambah dengan setiap saat berkurangannya usia seseorang. Renungkanlah maksud sebuah hadis dari Abu Abbas, Sahil bin Saad As-Sa'idd (RA) yang bermaksud:
"Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah (SAW) dan bertanya; Ya Rasulullah, tunjukkan aku suatu amalan, sekiranya aku buat, aku akan dicintai Allah dan orang ramai. Maka Nabi (SAW) menjawab; Hendaklah zahid di dunia, nescaya engkau dicintai oleh Allah (SWT) dan engkau zahid pada apa yang ada di sisi manusia, maka engkau akan dicintai oleh orang ramai."

Zahid disini ialah mengosongkan hati terhadap perkara keduniaan dan terhadap milik keduniaan yang ada pada orang lain. Maka akan terisilah hati dengan keutamaan terhadap perkara akhirat serta tiadalah hasad dengki sesama insan. Redha Allah (SWT) akan sentiasa menjadi matlamat hingga setiap inci kehidupan akan sentiasa dikerjakan untuk persediaan akhirat yang kekal abadi. Tidak terkesanlah diri dengan segala bentuk keduniaan.

Berusaha untuk keduniaan seolah-olah akan hidup seribu tahun lagi bererti urusan keduniaan itu masih boleh ditangguh-tangguhkan. Bukanlah berusaha seolah-olah hendak mengumpulkan dunia ini untuk kehidupan yang masih ada seribu tahun yang bakal dilalui. Ditangguhkan disini membawa erti bahawa hendaklah sentiasa mengutamakan urusan akhirat atau urusan agama.

Berusaha untuk akhirat seolah-olah akan mati pada esoknya. Bayangkan sekiranya diri benar-benar tahu dan pasti esok adalah hari kematian. Sudah tentu akan terlalu bersungguh-sungguh menunaikan ibadah dengan sepenuh penumpuan hanya kepada Allah (SWT). Akan ditinggalkannya segala urusan dunia demi persediaan menghadapi mati dan urusan selepas mati.

Dosa-dosa yang telah dilakukan akan terimbau semuanya dan diri akan terasa terlalu banyak amalan yang masih belum dilakukan. Terasa terlampau banyak yang masih belum diketahui dan dipelajari tentang urusan kehambaan yakni ibadah. Dalam keadaan ini tidak mampu diri hendak melihat tentang kebaikan yang pernah dan telah dilakukan. Malahan akan terasa terlampau banyak yang belum dilaksanakan.

Dalam hal kebaikan dan amalan sayugianyalah kita melihat pada apa yang belum dilakukan, bukan melihat pada apa yang telah diamalkan. Lihatlah juga kepada mereka yang beramal lebih dari diri ini dan bukan menilik diri orang yang kita rasa kononnya kebaikan mereka jauh lebih kekurangannya dari diri kita. Sentiasa juga kita akui bahawa diri inilah hamba Allah (SWT) yang paling lemah dhaif jahil hina lagi banyak dosa.

Sentiasalah diri ini gigih menundukkan nafsu agar ianya berbetulan dengan perintah dan kehendak Allah (SWT), agar ianya bertepatan dengan Sunnah kekasihNya (SAW). Maksud sebuah hadis dari Abu Muhammad Abdullah bin Amru bin Al-Ash (RA) yang bermaksud:
"Rasulullah (SAW) telah bersabda; Tidaklah beriman sesaorang kamu sehingga hawa nafsunya patuh kepada apa yang aku sampaikan."

رَبِّ نَجِّنِي مِنَ النَّفْسِ اْلأَمَّرَةِ بِالسُّوءِ

No comments:

Post a Comment