Wednesday, August 26, 2009

Nafsu Atau Ibadah

Seharian berlapar dan menahan dahaga bagi menunaikan rukun Islam ketiga perintah Allah (SWT). Suatu perintah yang sepatutnya mendidik dan menyemai Taqwa kepadaNya. Taqwa dengan menunaikan segala perintahNya serta meninggalkan segala laranganNya. Diperintahkan berpuasa sebagaimana pernah dilakukan oleh golongan sebelumnya supaya kita beroleh Taqwa. Maka bulan Ramadha itu, berpuasa itu adalah madrasah atau sekolah atau institusi pendidikan Taqwa. Akan rugilah kita sekiranya bukan ini yang dikejar.

Beberapa hari telah berlalu dan dengan izin serta rahmat Allah (SWT) dapat kita menahan lapar dan dahaga demi menunaikan tanggungjawab perintah kehambaan terhadapNya. Tidak lain dan tidak bukan kita dijadikan, dilahirkan dan dicipta semata-mata bagi menyempurnakan kehambaan kepadaNya, bagi mengabdikan diri kepada Allah (SWT). Diciptakan hidup dan mati itu bagi melihat siapakah yang paling elok, cantik dan baik dalam melaksanakan amalan kehambaan terhadapNya.

Apakah bulan Ramadhan 1430 kali ini kita masih juga menghitung kuih raya, baju raya, langsir raya dan segala perkara dunia yang melalaikan dan membazir itu? Berseronok kita yang teramat sangat untuk memenuhi tuntutan nafsu diri sendiri, isteri, anak-anak dan keluarga. Belum pun Ramadhan kita telah meronta-ronta memenuhi tipu daya nafsu yang merosakkan. Belum pun merasai walau sehari berlapar kita telah kalah dengan gelojoh lapar nafsu sendiri.

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَعْتَذِرُ إِلَيْكَ مِنْ كُلِّ كِبْدٍ جَائِعٍ
(Ya Allah! Seseungguhnya aku memohon keuzuran dariMu dari segala tuntutan nafsu yang lapar gelojoh)

Sekiranya diri kita sendiri sudah pun tewas, maka apatah lagi isteri dan anak-anak kita. Kasihlah diri kita dengan mengekang nafsu yang membawa kepada kemurkaanNya. Cintailah isteri dan anak-anak kita dengan mengajak mereka mengekang nafsu yang sudah barang tentu merosakkan. Ajaklah diri ini dan mereka yang kita cintai menghitung dan menambah Taqwa. Itulah sebaik-baik kemuliaan, itulah sebagus-bagus hiasan dan itulah juga lambang cinta sejati kita terhadap mereka yang kita cintai. Warnailah hidup dengan Taqwa.

No comments:

Post a Comment