Monday, August 31, 2009

Erti Kemerdekaan

يَا قَوِيُّ يَا مَتِيْنُ إِكْفِ شَرَّ الظَّالِمِيْنَ

(Maksud dari syarahan guru kami tentang kemerdekaan dari kacamata Islam)
Kemerdekaan yang sebenar ialah orang yang tidak dijajah oleh hawa nafsunya seperti sewaktu dia di alam roh dahulu iaitu ketika di alam zuriat. Segala anggota tubuhnya tidak dijajah oleh hawa nafsu. Dimasa itu Allah (SWT) bertanya kepada semua roh “Bukankah Aku ini Robb kamu semua? Kesemua roh pun mengaku bahawa Allah (SWT) adalah Robb mereka.” Semua roh telah tunduk dan mengaku dengan keesaan dan kebesaran Allah.

Mengaku Kehambaan

Di dalam dunia pula, orang yang merdeka sentiasa mengaku kehambaan dan keagungan Tuhan dengan lantang dan dengan penuh Allahu Akbar. Orang yang merdeka itu selalu akan berkata Allahu Akbar dan La ila ha il lallah. Lidah mereka selalu sahaja basah dengan ucapan La ila ha il lallah.

Orang yang masih dijajah ialah mereka yang kononnya berilmu agama yang tinggi tetapi tidak beramal dengan ilmunya. Mereka antara yang terdahulu akan dicampak ke dalam api neraka, nauzubillahiminzalik. Ramai di kalangan orang yang berilmu tetapi tidak beriman kerana di dalam kepalanya penuh dengan ilmu yang dijajah oleh nafsu sahaja.

Tiada Takut & Tidak Diperbudakkan

Orang yang merdeka ialah orang yang tak dijajah oleh jasad mereka, makhluk dan iblis. Dengan sebab itu, orang yang merdeka tidak takut selain Allah (SWT) kerana mereka telah sepenuhnya merdeka. Mereka faham prinsip Islam iaitu sesuatu itu tidak akan memberi bekas, tidak boleh memberi manfaat dan mudarat dan mereka ada ketahanan.

Mereka tidak takut dengan orang kafir atau sesiapa sahaja. Mereka hanya takut kepada Allah (SWT) sahaja, sama seperti pengakuan yang telah mereka lakukan di alam zuriat. Orang merdeka tidak boleh diperbudakkan oleh orang dunia atau oleh orang kafir. Disebabkan kita tidak merdekalah menyebabkan kita mudah dijajah oleh Belanda, Jepun dan Inggeris. Contohnya sejarah rasul-rasul, mereka tidak pernah dijajah oleh sesiapa atau isterinya dirampas oleh sesiapa.

Merdeka di Malaysia menurut beliau lagi:
“Mereka menyambut kemerdekaan dengan maksiat dan upacara yang bertentangan dengan syariat kerana mereka masih dijajah oleh hawa nafsu mereka. Mereka mudah diperbudakkan oleh iblis dan kuncu-kuncunya lalu mereka melaungkan perkataan Merdeka! Sepatutnya mereka melaungkan Allahu Akbar! Allahu Akbar! Mereka sebenarnya tidak memahami makna merdeka.”
Musuh kita yang paling dekat dengan diri kita ialah hawa nafsu kita sendiri. Musuh yang lain berada di luar diri kita. Contohnya di dalam maksud sebuah Hadis Rasulullah (SAW) ada menyatakan:
“Sebesar-besar musuh atau musuh ketat kamu ialah hawa nafsu kamu sendiri yang berada diantara dua lambung kamu.”


Contoh Orang Merdeka

Orang yang merdeka dapat melepaskan dirinya daripada segala ikatan hawa nafsu. Orang yang dijamin oleh Allah (SWT) sebagai hambaNya yang sepenuhnya merdeka adalah mereka yang berjaya beroleh redha Allah (SWT) dan setiap saat hanya mengharapkan redhaNya. Mereka yang selain yang dinyatakan merupakan mereka yang masih dijajah.

Orang yang merdeka dan juga bijaksana adalah seperti Tajul ‘Arifin Syeikh Yusuf Makasar yang telah menjadikan hutan besar tempat beliau dibuang oleh penjajah Belanda menjadi bandar besar Cape Town. Sehingga hari ini, di Afrika ada jalan dan pulau yang bernama Makasar. Makasar berasal daripada nama pulau Makasar dalam Kepulauan Melayu.

Nama ini tidak terdapat dalam Bahasa Afrika mahupun Bahasa Inggeris. Orang-orang Belanda kemudian telah membuat suatu kenangan pada makamnya iaitu sebagai memperingati kehebatannya. Inilah menurut guru kami tentang orang yang merdeka iaitu walau di laut mana sekalipun ia dicampakkan, pasti akhirnya tempat itu akan menjadi pulau dan makmur.

Mengabdi Diri Kepada Tuhan

Orang yang merdeka sedar bahawa tuhan menjadikan dirinya untuk mengabdikan dirinya kepada Tuhan. Mereka itu sedar diri dan matlamat hidup mereka Cuma Allah (SWT). Sebaliknya orang yang lalai dan dijajah oleh hawa nafsu akan masuk penjara nafsu, masuk penjara dunia dan akhirnya akan masuk penjara neraka apabila mereka mati kelak.

Tuhan telah banyak menguji kita agar kita menjadi orang merdeka tetapi kita masih lagi ingin menjadi hamba nafsu. Kalau kita selalu berkhidmat pada jalan Allah (SWT) iaitu membangun dan menghiaskan tempat-tempat Allah atau berkhidmat di tempat-tempat yang Allah (SWT) redha, menggunakan tenaga, harta benda dan jiwa raga walaupun khidmat itu hanya mengangkat sebiji pasir, nescaya semua itu akan menjadi saksi dan tebusan kita di akhirat kelak.

Tetapi semua ini mestilah dibuat dengan hati yang ikhlas dengan kesedaran dan keagunganNya. Kita tak boleh bersungut atau mengungkit. Khidmat kita ini akan berkekalan dan menjadi tebusan kita kelak di akhirat. Khidmat yang ikhlas juga akan menarik pelakunya kepada kesedaran, kemanisan iman, ketenangan jiwa kerana khidmat ini telah mendapat keredhaan Allah (SWT). Kita haruslah membangunkan agama Allah (SWT) dan meninggikan syiarnya.

Kemerdekaan sebenar di kalangan orang Melayu telah terlalu jauh menyimpang daripada maksud asalnya. Orang-orang melayu menyambut malam kemerdekaan sehingga tak tidur dengan membuat pelbagai maksiat. Mereka mengikut sepenuhnya hawa nafsu, syaitan dan iblis dengan bercampur gaul antara lelaki dan perempuan dan meminum arak.

Kemanisan Iman

Orang yang merdeka akan mendapat kemanisan iman walaupun ia hanya tinggal sehelai sepinggang. Mereka tetap redha dengan susunan takdir Tuhan. Mereka takut, tunduk dan muafakat dengan apa yang telah Tuhan tentukan semasa ia berada di alam zuriat. Kita perlu mengikut susunan syariat dan tariq dengan tujuan agar kita sentiasa berbetulan jalan keredhaan Allah. Apabila berbetulan baharulah kita dapat rasa manis di dalam duka.

Walau sebesar mana sekali pun kesusahan yang dihadapi tetapi tetap kemanisan iman mengatasinya dan sentiasa ada tumpuan dan ada kesedaran pada Allah (SWT). Kita dapat merasa kemanisan iman yang tak dapat diceritakan. Manisnya iman ini lebih daripada madu dan putihnya lebih daripada susu. Kemanisan iman ini hanya dapat dirasai apabila sentiasa mengamalkan syariat dan tariq. Segala kekeruhan nafsu dapat ditembusi dan dirasai kehebatan manisnya kehambaan.

Waspada

Orang-orang merdeka ialah orang yang sentiasa waspada dengan pekerjaan mereka. Mereka sentiasa membantu untuk kebaikan. Mereka bertungkus lumus dan bersungguh-sungguh dalam melakukan kebaikan walaupun cuma hanya membuang lalu mengambus tahi di tepi jalan agar tidak busuk dan menyusahkan orang lain. Semua dilakukan kerana Allah (SWT).

Orang merdeka ialah orang yang tidak lagi dipengaruhi nafsu dalam ibadahnya. Sebaliknya jika masih timbul nafsu maka semua itu boleh menjadi maksiat. Mereka membeli harta bendanya seperti kereta dan motorsikal untuk pergi kerja dan itu adalah ibadah. Tetapi jika mereka membeli harta benda ini untuk pergi berjudi, berpoya-poya dengan wanita, itu semua adalah maksiat. Di sini, dikira juga maksiat duit minyak kenderaan dan wang belanjanya kepada kita.

Ramai orang bercampur gaul antara lelaki dan perempuan menyambut kemerdekaan sambil menari, menyanyi, minum arak dan lain-lain. Inilah istilah kemerdekaan bagi orang maksiat yang akan melepaskan geram dan perasaan hawa nafsu mereka sepuas-puasnya merayakan hari kemerdekaan. Hakikatnya diri mereka masih belum merdeka, dijajah dan terjajah.

Inilah antara maksud ungkapan dari syarahan yang mulia guru kami sewaktu memperkatakan tentang kemerdekaan sebenar. Itulah dia erti sebenar kemerdekaan sebagaimana yang telah Allah (SWT) anugerahkan kepada nabi-nabi dan rasul-rasulNya.

رَضِيْنَا بِاللهِ رَبًّا وَبِاْلإِسْلاَمِ دِيْنًا وَبِمُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَبِيًّا وَرَسُوْلاً

No comments:

Post a Comment