Thursday, August 27, 2009

Bersanad, Berguru & Bersilsilah


رَضِيْتُ بِاللهِ رَبًّا وَبِاْلإِسْلاَمِ دِيْنًا وَبِمُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَبِيًّا وَرَسُوْلاً

Apabila disebut perkara sanad, guru atau silsilah ini maka lahirlah bermacam-macam pendapat dan sangkaan dari pelbagai golongan. Ada yang negatif dan ada juga yang positif, tidak kiralah sama ada ianya datang dari kelompok orang awam atau pun orang 'alim. Malang sungguh jika ianya dilihat dari hanya satu sudut jumud (sempit) atau tidak diendahkan langsung akan perkara yang teramat penting ini. Inilah suatu tradisi wajib penyampaian segala bentuk ilmu Islam dari Nabi Muhammad (SAW) hingga sampai kepada kita sekarang.

Apabila berlakunya kepincangan dalam kefahaman Islam maka akan adalah suara-suara yang penuh emosi meledakkan pelbagai andaian atau mungkin suatu kefahaman dari ilmu mereka. Umum telah nampak dengan jelas dan nyata betapa parahnya kepincangan yang berlaku dek kerana sikap mengenepikan tradisi ilmu ini. Berlaku salah faham, salah tafsiran, kerosakan urusan agama sebuah masyarakat, kerapuhan Iman dan pelbagai lagi bala bencana natijah dari pelanggaran tertib ilmu ini.

Bertebaranlah dibumi Allah (SWT) ini pelbagai kesesatan akibat dari menyalahinya. Apa yang terlalu menyedihkan ialah tersebar juga kepincangan yang terlalu parah dalam memahami Al-Quran dengan bermacam-macam tafsiran baru yang tiada usulnya. Ianya juga berlaku juga kepada Hadis Nabi Muhammad (SAW) hingga wujudnya pelbagai kepalsuan. Kepalsuan dalam memahami Hadis yang sebenar dan juga tercipta pula Hadis yang palsu. Semuanya ini menjadi penyumbang kepada perpecahan dan melemahkan umat Islam.

Kembalilah kepada tertib yang telah ditetapkan Allah (SWT) melalui kekasihNya Nabi Muhammad (SAW). Tundukkanlah nafsu biadab kita agar dapat kita dipimpin oleh para pewaris Nabi serta orang-orang lantikan Allah (SWT). 'Ulama' sebenar dan awliya itu hakikatnya adalah lantikan dari Allah (SWT). Bergurulah dengan mereka, peganglah "jubah" mereka dan genggam erat tangan mereka yang mempunyai ilmu dan kefahaman sebenar tentang kehambaan kepada Allah (SWT). Hilangkanlah biadab dan kesombongan diri.

Bergurulah dan pelajarilah Islam dari sumber dan cara yang sepatutnya. Kaedah yang mana telah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad (SAW) sendiri dan para sahabat (RA) serta generasi yang mengikut jejak mereka dengan baik dari dulu hingga ke hari ini. Setelah itu bolehlah kita rujuk dengan pelbagai bahan bacaan seperti buku dan pelbagai lagi sumber media. Janganlah diterbalikkan proses ini. Bergurulah dengan ahlinya selepas itu bolehlah dijadikan buku atau sumber media yang lain sebagai rujukan.

Mana mungkin ilmu perubatan, ilmu penerbangan, ilmu kejuruteraan atau ilmu dunia yang lain dikuasai dan difahami melalui pembacaan dan pembelajaran secara sendiri. Jika ianya tetap diusahakan dengan cara yang melanggar tertib dalam mempelajari dan memahaminya maka akan rosaklah urusan tersebut. Kematian akan berlaku, pesawat akan terhempas, jentera akan rosak dan bangunan akan runtuh serta pembangunan akan terhenti. Yang wujud hanya kebinasaan suatu tamadun yang semakin papa dengan ilmu.

Begitulah parahnya kebinasaan yang bakal dihadapi sekiranya ilmu-ilmu tersebut dilanggar tertib dalam tradisi penyampaiannya. Bayangkanlah betapa lebih besar lagi jahanam yang bakal melanda sekiranya pelanggaran tertib adab kesinambungan ilmu Islam dibiarkan terus berlaku. Dengan rahmat Allah (SWT), diri inilah yang dapat melakukan perubahan. Perubahan yang besar bermula dari diri sendiri. Segala-galanya dengan rahmatNya semata-mata. Akuilah bahawa diri ini memerlukan ilmu dan bimbingan yang sebenar.

(Akulah hamba Allah SWT yang paling lemah, hina, dhaif, jahil lagi banyak dosa)
أَسْتَغْفِرُ اللهَ رَبَّ الْبَرَايَا وَنَسْتَغْفِرُ اللهَ مِنَ الْخَطَايَا

No comments:

Post a Comment