Sunday, February 3, 2013

Tarikan & Ketakutan

Telah berkata Syeikhuna r.a:

Tidur manusia ini ada bermacam ragam. Pastinya khayalan tidur itu tidak bercampur aduk dengan khayalan semasa dalam keadaan jaga. Bahkan jika tertidur semasa membawa kereta tentunya kereta akan kemalangan, lalu akan terkejut. Bermakna hal ehwal tidur tidak boleh bercampur dengan keadaan jaga. Oleh itu tidaklah boleh memandu kereta semasa tenggelam lena di alam tidur. Jika hendak tidur kenalah duduk di alam tidur dan tidak boleh dibawa ke alam syahadah ini. Sekiranya bercampur maka akan rosak bercelaru dan ini akan menyalahi segala kaedah dan keadaan malahan akan tidak menjadilah dan tentunya berlaku kemalangan.

Ini bererti tidak boleh dibawa masuk alam syahadah ini ke alam tidur, dan apa juga yang di dalam tidur itu jangan dibawa ke alam syahadah. Lihatlah perihal keadaan orang gila, mereka tidak boleh dan tidak mampu tidur lena kerana diheret semua alam tidurnya ke alam jaga. Orang gila tidak boleh tidur sebab alam tidur tidak ada padanya kerana alam tidurnya telah direntapnya 100%, yang ada padanya hanyalah kepanasan. Pemikiran, perasaan dan psikologinya tidak ada upaya untuk menyebabkan ia merasa apa-apa yang sepatutnya dirasai.

Jika diperhatikan manusia normal pula, hidupnya penuh dengan cengkaman rasa ketakutan seperti takut bom, takut tikus, penyamun, harimau sehingga akan menyebabkan hilangnya perasaan hendak tidur. Kadang-kadang dengan tikus pun menjadi teramat melampau takutnya sehingga apabila nampak tikus akan terjerit-jerit dan terlolong-lolong. Itu baru tikus, belum lagi ular atau harimau.

Kalau takutkan tikus dan harimau boleh menarik psikologi sehingga menyebabkan hilangnya perasaan hendak tidur, tetapi mengapa apabila disebut kalimah Allah psikologi tidak boleh "ter"tarik dan "di"tarik. Inilah keadaan manusia yang nilainya hanya sesuai dimasukkan ke dalam tong sampah. Kalimah Allah yang dilafaz dam didengarnya itu tidak "sampai". Syahadahnya, iaitu pemikirannya itu tidak sampai kepada keagungan Illahi.

Dia tidak mampu langsung untuk memikirkan Maha Hebat Maha Agong Tuhan Maha Berkuasa Maha Perkasa yang menjadikan tujuh petala langit, tujuh petala bumi dan segala-segalanya. Tetapi jika berlakulah langit dan bumi runtuh di atas kepalanya, barulah tahu erti ketakutan. Begitulah kuatnya alam syahadahnya itu mengatasi alam ghaib. Ini menunjukkan alam syahadah ini alam kehaiwanan. Sifat haiwannya itu tinggi macam haiwan sebenar seperti anjing, ular, harimau dan sebagainya. Ini mestilah gigih untuk cuba dipulihkan segera.

Saturday, September 15, 2012

Bisikan Hati

Berkata Syeikhuna:

Bisikan atau gerakan hati kepada dosa dan maksiat biasanya datang daripada nafsu. Dalang perbuatan ini adalah iblis, syaitan, jin dan konco-konconya serta nafsu jahat manusia itu sendiri yang menyebabkan berlakunya perasaan was-was. Adanya nafsu jahat ini menjadi tempat duduk iblis di dalam diri manusia. Nafsu jahat manusia akan sentiasa mengikut arahan iblis. Di sini, kita perlu mematikan segala bisikan-bisikan hati yang tidak bersesuaian dengan hukum syariat dan tariq

Inilah yang di katakan fana’. Fana’ ertinya mematikan segala bisikan dosa dan maksiat yang tidak bersesuaian dengan syariat dan tariq. Fana’ mematikan segala yang lain selain Allah samada ingatan dunia atau diri sendiri. Di dalam fana’ masih ada pengetahuan tentang binasa (iaitu masih ada bisikan-bisikan). Apabila pengetahuan ini hilang barulah kita mendapat fana’ ul fana.

Bisikan-bisikan lain segalanya akan mati. Untuk mematikan segala bisikan dosa dan maksiat ini, kita perlu ikut susunan perjalanan yang terdapat dalam ilmu kesufian atau tarikat, seperti zikir, istighfar dan selawat. Ketiga-tiga ini adalah bertentangan dengan bisikan dosa dan maksiat. Di sini kita perlu mencari orang yang boleh mengajar kita ilmu kesufian dan kita yakin orang itu boleh mengajar kita sehingga fana’. Jika belajar tanpa guru bermakna syaitanlah guru kita.

Jika kita cinta Allah ikutlah jejak langkah Rasullullah (saw) atau orang (awliya) Allah. Orang Allah sentiasa ada sehingga kiamat. Oleh kerana dunia ini huru-hara dengan dosa dan maksiat. Orang-orang Allah tersembunyi kerana diserang oleh orang-orang dunia. Di sini kita perlu bermunajat kepada Allah agar diberi petunjuk menemui orang Allah ini. Apabila berjumpa dengan mereka maka bersungguh-sungguhlah kita mengikuti ajarannya.

Tiap-tiap sesuatu akan hilang atau binasa dan wajah Allah tetap abadi dengan keagungan dan kemuliaannya. Tidak ada ibadat lebih berkesan daripada memerhati hadirah atau bisikan hati supaya yang lain daripada Allah tidak mempengaruhi anda. Kalau dipengaruhi yang lain daripada Allah seperti anak, harta benda, wanita dan lain-lain, itu adalah takatsur dan syirik maa’ni.

Imam Ghazali menggariskan untuk menjadi orang perjalanan dan mendapat ilmu Allah, orang itu mestilah berawas sebelum berjaya (berhati-hati dengan godaan dosa dan maksiat). Katanya lagi sesungguhnya ada seketul daging, di dalam badan (hati), apabila suci ia maka akan sucilah seluruh anggota badannya (mafhum hadis). Hati ibarat raja dan badan ibarat rakyat. Jika raja memimpin (dengan) lurus  (baik) akan luruslah seluruh rakyatnya.